PENYERANG Selangor, Khyril Muhymeen mengakui dia memiliki misi peribadi menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam, malam esok.
Katanya, dia berhajat untuk bertemu dengan bekas pasukannya, Kedah di pentas final Piala Malaysia yang dijadualkan pada 2 November depan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Jelasnya, pertemuan menentang Kedah akan menjadi motivasi tambahan kerana dia berasal dari Alor Setar dan kali terakhir menjulang trofi Piala Malaysia pada 2008 bersama negeri itu.
Begitupun, Khyril lebih berminat untuk memberikan fokus terlebih dahulu kepada pertemuan menentang JDT selepas pasukan bimbingan B Sathianathan tewas 1-2 pada separuh akhir pertama di Larkin dalam misi memastikan Selangor layak ke pentas final.
“Kalau jumpa Kedah di final, saya rasa lagi tentu semangat kerana akan berdepan pasukan lama, malah kebetulan final 2008 itu, Kedah menentang Selangor.
“Harapan saya perkara ini dapat berlaku dan dapat bangkitkan nostalgia apa yang berlaku lebih 10 tahun dahulu.
“Kepada rakan sepasukan, saya harap kita mampu sama-sama buat yang terbaik di Shah Alam serta mengharapkan penyokong Selangor boleh datang beramai-ramai memberi sokongan untuk membantu pasukan mara ke final,” katanya.
Mengulas pertemuan dengan JDT, Khyril berazam menjelmakan sekali lagi prestasi cemerlang seperti mana pernah dilakukan di suku akhir kedua ketika membenam cabaran Perak di Shah Alam selepas tewas 0-1 di Stadium Perak, Ipoh.
Dalam perlawanan itu yang memperlihatkan Selangor menang 3-1, Khyril meledak dua gol bagi membantu Selangor mara menerusi agregat 3-2.
Melihat situasi yang hampir serupa pada kali ini, Khyril optimis aura di Stadium Shah Alam akan menjadi bekalan terbaik buat pasukan untuk melangkah keluar selaku pemenang.
“Apa yang berlaku kepada kami di suku akhir, mengingatkan kami kembali sebaik tewas di Larkin minggu lalu dan saya boleh katakan kami hormati pihak lawan, sama seperti ketika di Ipoh.
“Di Shah Alam, kami akan lebih agresif, fokus dan mentaliti kami pasti lebih kuat dalam mendapatkan kemenangan sekali gus atasi defisit yang dimiliki pihak lawan,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan