Helang Merah naik pesawat khas ke ibu negara

Seluruh pasukan Helang Merah datang ke ibu negara petang tadi menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Subang dengan menaiki pesawat khas eksekutif tajaan syarikat berkenaan. - Foto ihsan Facebook FA Kedah
KUALA LUMPUR: Motivasi pasukan Kedah menjelang final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini berada pada tahap terbaik apabila menerima tajaan khas daripada Weststar Group.
Menerusi akaun rasmi Facebook FA Kedah, seluruh pasukan Helang Merah datang ke ibu negara petang tadi menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Subang dengan menaiki pesawat khas eksekutif tajaan syarikat berkenaan.

"Alhamdulillah, rezeki buat skuad hijau kuning menaiki pesawat Weststar menuju Subang. Suntikan moral buat pasukan menuju Bukit Jalil!," menurut satu kenyataan dimuat naik menerusi FA Kedah, sebentar tadi.
Seluruh pasukan Helang Merah datang ke ibu negara petang tadi menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Subang dengan menaiki pesawat khas eksekutif tajaan syarikat berkenaan. - Foto ihsan Facebook FA Kedah
Terdahulu, kesungguhan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak terserlah apabila turut menjalani latihan pada sebelah pagi di Padang Suka Menanti sebelum berangkat ke ibu negara.
Kedah tampil ke final Piala Malaysia buat kali ke-14, memburu kejuaraan keenam selepas kali terakhir merangkulnya pada 2016 dengan menewaskan Selangor.
Selain itu, Kedah kini berada dalam situasi positif untuk merealisasikan misi balas dendam selepas tewas 2-0 kepada lawan sama pada edisi final 2017.
Yang pasti, perhitungan dua pasukan ini menarik tumpuan ramai ketika Kedah hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok selaku juara Piala FA manakala JDT sebagai juara Liga Super.
Esok, pasukan Kedah dijadualkan menemui peminatnya pada satu majlis bertemu peminat di Football Republic, Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada jam 11 pagi.

Ulasan