LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) meluluskan pendaftaran dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Muhammad Fadhli Shas dan Ahmad Hazwan Bakri ke Johor Darul Ta’zim II (JDT II) berkuatkuasa serta merta.
Sebelum ini, peraturan membabitkan perpindahan pemain ‘Pasukan Simpanan’ menyatakan had umur pemain-pemain tempatan yang dibenarkan untuk berpindah dari ‘Pasukan Simpanan’ ke skuad utama atau skuad utama ke ‘Pasukan Simpanan’ harus memiliki syarat sekurang-kurangnya berusia 27 tahun ke bawah.
Bagaimanapun, Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan di mana tiada lagi had umur bagi pemain-pemain tempatan untuk bergerak dari skuad utama ke ‘Pasukan Simpanan’ atau sebaliknya dalam mesyuarat pada 1 Mac lalu.
Kini, pemain tempatan yang berumur 27 tahun ke atas kini dibenarkan untuk bergerak dari skuad utama ke ‘Pasukan Simpanan’ atau dari ‘Pasukan Simpanan’ ke skuad utama.
“Pihak MFL dengan ini meluluskan pendaftaran pemain JDT (pasukan utama) untuk didaftarkan ke JDTII (Pasukan Simpanan).
“Merujuk keputusan Mesyuarat Lembaga Pengarah MFL 1 Mac lalu di mana tiada lagi had umur bagi pemain-pemain tempatan untuk bergerak dari skuad utama ke ‘Pasukan Simpanan’ atau sebaliknya.
“Oleh yang demikian, pendaftaran pemain terbabit dibuat mengikut Peraturan “Reserve Team” seperti yang diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.
“Pendaftaran pemain-pemain ini adalah berkuatkuasa pada tarikh surat ini diedarkan,” kata MFL dalam kenyataan.
Beberapa permohonan pendaftaran pemain tempatan untuk bergerak dari skuad utama ke ‘Pasukan Simpanan’ atau sebaliknya sudah diluluskan MFL sebelum ini termasuk permohonan Terengganu FC (TFC) ke TFC II pada 14 Jun lalu seramai 22 pemain.
Ulasan
Catat Ulasan