B. Sathianathan Idam ‘Final Piala Malaysia’ Sebagai Hadiah Deepavali


Jurulatih Selangor, B Sathianathan mahu menggenggam tiket final Piala Malaysia 2019 sebagai hadiah paling bermakna serta keceriaan berganda sempena menyambut perayaan Deepavali pada Ahad ini.
Bukan itu sahaja, sekiranya mereka berjaya menyingkirkan Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat separuh akhir Sabtu ini, beliau juga mahu mendedikasikan kejayaan itu kepada seluruh peminat Selangor yang turut merayakan Deepavali.

Satianathan juga yakin situasi itu bakal menjadi motivasi tambahan kepada beberapa pemain lain yang beragama Hindu seperti K Sarkunan, K Prabakaran dan A Namathevan.
“Memang ini yang dimahukan, bukan sahaja untuk saya serta pemain-pemain yang sedang bersama pasukan ini namun demi penyokong-penyokong Selangor terutamanya yang beragama Hindu.
“Kita mahu jadikan suasana perayaan Deepavali nanti sebagai satu suasana indah dan bermakna kepada mereka, jadi saya harap kita dapat masuk ke perlawanan akhir Piala Malaysia, ” katanya.
Dalam pada itu, Satianathan mengesahkan mereka akan terus kehilangan ayam tambatan di bahagian tengah, Endrick Dos Santos yang masih pulih daripada kecederaan pangkal paha namun beliau tidak terlalu bimbang dengan situasi berkenaan.
Kehadiran Sandro Da Silva sejak aksi separuh akhir pertama lalu sudah cukup membuatkan Satianathan boleh tersenyum lebar selain Sarkunan dan Abdul Halim Shaari mampu memikul peranan di bahagian tengah bagi mengekang penguasaan JDT.

“Endrick seorang pemain yang membantu kita sebelum ini dan ketiadaan dia sememangnya satu kehilangan kepada pasukan dalam situasi seperti ini.
“Bagaimanapun, saya masih ada pemain lain seperti Sarkunan atau Halim bagi memegang watak di bahagian tengah selain kembalinya Sandro bersama pasukan.

“Dua bulan berehat panjang, dia hampir mendapatkan rentak ketika aksi separuh akhir pertama walaupun belum sama ketika dia bermain di liga tetapi saya nampak dia akan lebih bersedia berdasarkan situasi di tempat latihan, ” katanya.
Pada separuh akhir pertama, JDT membawa kelebihan tipis 2-1 dari Stadium Tan Sri Dato Hj. Hassan Yunos, Larkin pada 19 Oktober lalu melalui gol daripada Syafiq Ahmad dan Leandro Velazquez manakala Ifedayo Olusegun menjadi penjaring tunggal Selangor
Sementara itu Sandro optimis dia mampu tampilkan aksi lebih bertenaga ketika melayani kunjungan JDT di Stadium Shah Alam selepas mampu beraksi selama 75 minit di Larkin.
“Selepas sekian lama tidak beraksi dan melalui satu perlawanan yang sukar bertemu JDT, saya rasa lega kerana boleh membantu pasukan di sana.
“Kini saya makin positif dengan tahap kecergasan saya bagi hadapi JDT di laman sendiri, saya rasa kami mampu melakukan sesuatu dan seterusnya cipta laluan ke final, ” katanya.

Ulasan