Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi pilihan Malaysian Football League (MFL) sebagai gelanggang perlawanan akhir saingan Piala Malaysia 2019 yang bakal menemukan Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Saingan edisi ke-98 yang akan berlangsung pada 2 November itu pastinya menarik kerana kedua-dua pasukan sudah mengecap nikmat pada musim ini selaku juara Liga Super [JDT] dan Piala FA buat Kedah.
Pengesahan rasmi berkenaan gelanggang dan tarikh perlawanan hebat itu dibuat oleh MFL menerusi laman Facebook rasmi badan penganjur bola sepak tempatan itu.
Stadium Nasional Bukit Jalil pernah dinobatkan selaku pemenang Anugerah Stadium Terbaik Dunia bagi kategori Stadium Sedia Ada pada Kongres Stadium Dunia 2018.
Selepas proses pengubahsuaian besar-besaran bagi menganjurkan Sukan Asia Tenggara (SEA), Stadium Nasional Bukit Jalil berwajah baharu dengan kapasiti penonton sebanyak 87,411.
Stadium yang mula dibina pada 1 Januari 1995 itu seringkali dipilih sebagai gelanggang perlawanan akhir saingan Piala FA dan Piala Malaysia disamping pada ketika ini menjadi ‘home’ kepada skuad Harimau Malaya.
Kredit foto: Perbadanan Stadium Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan