PEMAIN pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Aidil Zafuan Abd Radzak. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
JOHOR BAHRU: Pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Aidil Zafuan Abd Radzak tidak menganggap pertembungan dengan Selangor sebagai aksi separuh akhir sebaliknya umpama `final' yang harus diharungi di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, Sabtu ini.
Bagi pemain pertahanan kebangsaaan itu, setiap perlawanan diharungi adalah aksi final kerana ia akan memberi lebih motivasi kepada dirinya dan rakan sepasukan untuk memperaga permainan lebih mantap.
Katanya, selepas menewaskan Terengganu 5-1 secara agregat pada aksi suku akhir dan layak ke separuh akhir piala berprestij itu, laluan skuad Harimau Selatan tetap berliku memandangkan saingan Piala Malaysia berbeza berbanding Liga Super.
"Alhamdullilah, kita dah melayakkan diri ke peringkat seterusnya tapi saya tidak menganggap ia perlawanan separuh akhir, sebaliknya setiap aksi kami harungi adalah final. Ia final' dan semestinya kami mahu beri yang terbaik di laman sendiri kerana mahu cari bekalan selesa untuk di bawa ke Shah Alam nanti.
"Kita akan menentang Selangor yang juga sebuah pasukan berpengalaman dalam kancah Piala Malaysia. Bagaimanapun keutamaan adalah kepada diri saya dan pasukan untuk membuat persiapan cukup rapi,” katanya.
Apapun, Aidil Zafuan menyerahkan kepada perancangan taktikal akan dibentuk Luciano Figueroa dan Benjamin Mora sama ada diturunkan dalam kesebelasan dan memahami kehendak mereka ketika beraksi di padang.
Katanya, persiapan berjalan lancar dan sokongan padu daripada pemain ke-12 amat penting bagi menyemarakkan perjuangan skuad Harimau Selatan mengharungi 90 minit perlawanan nanti.
"Kita akan beri persembahan terbaik dan lebih penting cuba mengelak daripada melakukan kesilapan mudah kerana Selangor bijak untuk mengambil kesempatan jika buat silap," kata Aidil.
Ulasan
Catat Ulasan