Afiq 'senjata JDT'



KELIBAT pemain tengah Mohd Afiq Fazail bakal menjadi `senjata' buat Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila melayani kunjungan Selangor pada aksi separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.
Itu telahan kapten JDT, Hariss Harun yang menganggap pemain muda kelahiran Johor memiliki corak permainan yang konsisten dan bijak membaca permainan lawan dan sentiasa bertungkus lumus di posisi tengah.
Dia juga berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan Mohd Afiq sepanjang aksi saingan Liga Super dan Piala Malaysia malah menganggap pemain itu sudah menunjukkan kematangan dan mampu menguasai posisi tengah.
"Pendedahan yang diraih Afiq sepanjang bersama JDT mematangkan pemain itu.
Malah dia tidak kekok ketika beraksi di pentas antarabangsa terutama saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), baru-baru ini dan saya begitu selesa bergandingan bersamanya.
Afiq bukan sahaja mampu menguasai permainan di posisi tengah malah dia boleh bertindak sebagai penjaring dan saya percaya dia akan menyerlah pada perlawanan itu nanti," katanya.
Ditanya mengenai pertembungan menentang skuad The Red Giants, Hariss mengakui ia perlawanan yang tampak mencabar buat skuad Harimau Selatan namun optimis betapa persiapan rapi yang dilakukan beri lebih keyakinan untuk mengharungi 90 minit aksi pertama.
Katanya, kemenangan dengan berkala yang selesa amat penting buat skuad Harimau Selatan kerana aksi seterusnya di Stadium Shah Alam lebih sukar memandangkan skuad kendalian B Sathiananthan memiki aura tersendiri apabila beraksi di sana.
"Kita akan turun untuk aksi 90 minit yang saya anggap ibarat `final' dan tidak boleh melepaskan peluang mencari kemenangan apabila beraksi di tempat sendiri dan saya sendiri serta rakan sepasukan mahu memburu keputusan positif.
"Mengenali Selangor yang dianggap pasukan legenda dalam kancah Piala Malaysia, mereka mampu beri tentangan sengit dan mereka membuktikan ketika menewaskan Perak pada suku akhir apabila bangkit dengan kemenangan," kata Hariss.

Ulasan