Afiq senjata JDT hadapi Selangor

PEMAIN JDT, Mohd Afiq Fazail. NSTP/Hairul Anuar Rahim


JOHOR BAHRU: Kelibat pemain tengah Mohd Afiq Fazail bakal menjadi `senjata' buat Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila melayani kunjungan Selangor pada aksi separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.
Itu telahan kapten JDT, Hariss Harun yang menganggap pemain muda kelahiran Johor itu memiliki corak permainan konsisten dan bijak membaca permainan lawan dan sentiasa bertungkus lumus di posisi tengah.
Dia juga berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan Mohd Afiq sepanjang saingan Liga Super dan Piala Malaysia malah menganggap pemain itu sudah menunjukkan kematangan dan mampu menguasai posisi tengah.
"Pendedahan diraih Afiq sepanjang bersama JDT mematangkan pemain itu. Malah dia tidak kekok ketika beraksi di pentas antarabangsa terutama saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), baru-baru ini dan saya begitu selesa bergandingan bersamanya.
“Afiq bukan sahaja mampu menguasai permainan di posisi tengah malah dia boleh bertindak sebagai penjaring dan saya percaya dia akan menyerlah pada perlawanan itu nanti," katanya.
Ditanya mengenai pertembungan menentang skuad The Red Giants, Hariss mengakui ia perlawanan yang tampak mencabar buat skuad Harimau Selatan namun optimis betapa persiapan rapi dilakukan memberi lebih keyakinan untuk mengharungi 90 minit aksi pertama.
Katanya, kemenangan dengan bekalan selesa amat penting buat skuad Harimau Selatan kerana aksi seterusnya di Stadium Shah Alam lebih sukar memandangkan skuad kendalian B Sathiananthan memiki aura tersendiri apabila beraksi di sana.

Ulasan