Abang, adik 'bermusuhan' 90 minit





FINAL Piala Malaysia Sabtu ini turut mencipta sejarah tersendiri apabila bakal menyaksikan pertempuran abang bertemu adik bagi menentukan siapa yang layak membawa pulang atau bergelar juara pada kejohanan berprestij terbabit.
Kali pertama dipertemukan di pentas final dengan mewakili pasukan berbeza, Zaquan Adha dan Aidil Zafuan Abdul Razak sudah pastinya terpaksa melupakan seketika hubungan adik beradik selepas masing-masing perlu bersaing bagi memastikan Piala Malaysia kali ini dalam genggaman.
Zaquan Adha antara penyerang Kedah, manakala abang kembarnya, Aidil Zafuan pula pilihan utama yang bakal membarisi pertahanan JDT dalam aksi kemuncak itu.


Aidil Zafuan mengakui mereka akan bertemu sebagai ‘musuh’ di atas padang selepas 13 tahun berkecimpung dalam arena bola sepak profesional.
Katanya, hubungan adik beradik tidak menghalang untuk dia menyekat setiap serangan skuad Lang Merah dan memberikan persembahan terbaik bagi memastikan piala itu pulang ke selatan.
“Kami perlu bersikap profesional dan bermain dengan baik demi pasukan masing-masing dan sudah tentu atas padang nanti dilihat seperti musuh.
“Kedah dibarisi pemain berkualiti dan berpengalaman, sekali gus memerlukan kerja keras untuk mengekang setiap asakan mereka.
“Dalam bola sepak ini senang, lawan tetap lawan walaupun adik beradik tiada pengecualian yang pasti keutamaan adalah untuk pasukan,” katanya ketika ditemui Arena Metro.
Sementara itu, Zaquan Adha pula berkata, dia dan abang kembarnya sentiasa memohon doa dan restu daripada ibu mereka setiap kali sebelum perlawanan berlangsung.
“Kami selalunya akan menghubungi ibu menjelang perlawanan dan apabila mengetahui bakal berdepan JDT dalam final, ibu tidak tahu ingin mendoakan kejayaan bagi saya atau Aidil. Jadi siapa yang menang dalam final, itu rezeki masing-masing,” katanya.
Adik beradik itu sebelum ini bermain dalam satu pasukan sewaktu bersama Negeri Sembilan dan JDT. Zaquan kemudiannya mengangkat kaki dari JDT pada 2017 untuk menyertai beberapa pasukan lain iaitu Perak, Kuala Lumpur dan kini bersama Kedah.

Ulasan