10 Kemenangan Terbesar Johor Darul Ta’zim di Stadium Larkin
Sepanjang tujuh tahun lalu, Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos atau dikenali sebagai Stadium Larkin menjadi home kepada gergasi bola sepak Malaysia, Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ia menjadi saksi kepada pelbagai kemenangan dan kejuaraan yang dirangkul oleh skuad Harimau Selatan sejak dipimpin oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja.
Namun setiap pertemuan ada perpisahannya dan bermula musim hadapan, JDT telah mengumumkan akan berpindah ke Stadium Sultan Ibrahim – stadium bola sepak serba moden – manakala Stadium Larkin hanya digunakan oleh reserved team, JDT II.
Sebagai tanda perpisahan, FOX Sports Malaysia ingin membawa anda mengimbau kembali 10 kemenangan besar direkodkan JDT dalam kejohanan utama ketika beraksi di Stadium Larkin:
#1 Johor Darul Ta’zim 5-2 Sarawak
Liga Super Malaysia 2016 (20/04/2016)
Perlawanan pertama pilihan kami melibatkan pertembungan di antara JDT dan Sarawak dalam saingan Liga Super musim 2016. Pada perlawanan ini, tiga pemain import JDT, Pereyra Diaz, Marcos Antonio dan Martin Lucero masing-masing menjaringkan satu gol. Pemain tempatan, Fazly Mazlan dan jaringan sendiri oleh pemain Sarawak, Sahrol Saperi pada babak pertama turut menymbang kepada kemenangan 5-2 pasukan JDT.
#2 Johor Darul Ta’zim 5-1 T-Team FC
Liga Super Malaysia 2016 (24/09/2016)
Pilihan kedua kami melibatkan pertembungan pasukan tuan rumah, JDT menentang T-Team FC. Ia berkesudahan dengan jaringan 5-1 di mana pemain import, Martin Lucero berjaya mencatatkan hatrik dalam perlawanan ini. Amirulhadi menjaringkan satu gol dan satu gol sendiri oleh pemain T-Team FC, Abdulaye Maiga.
#3 Johor Darul Ta’zim 5-1 Kedah
Peringkat Kumpulan C – Piala Malaysia 2018 (10/08/2018)
Pilihan ketiga kami melibatkan pertembungan di antara JDT dan Kedah dalam saingan Piala Malaysia 2018. Pertembungan di peringkat Kumpulan C ini menyaksikan Kedah tewas dengan jaringan 5-1 hasil jaringan Fernando Marquez, Natxo Insa, Hazwan Bakri, Gonzalo Cabrera dan S. Kunanlan.
#4 Johor Darul Ta’zim 5-0 Ayeyawady United (Myanmar)
Pusingan 16 – Piala AFC 2015 (27/05/2015)
Kita beralih ke saingan antarabangsa. Kali ini JDT mencatatkan kemenangan besar di Stadium Larkin dengan menewaskan wakil Myanmar, Ayeyawady United FC dengan jaringan 5-0. Kedua-dua penyerang JDT, Luciano Figueroa dan Pereyra Diaz masing-masing menjaringkan dua gol dan Safiq Rahim menjaringkan satu gol.
#5 Johor Darul Ta’zim 5-0 Kedah
Liga Super Malaysia 2016 (16/07/2016)
Satu lagi kemenangan besar dicatatkan oleh JDT ke atas Kedah di Larkin. Kali ini di pentas Liga Super Malaysia musim 2016. Dalam perlawanan ini, kapten pasukan, Safiq Rahim dan pemain import, Pereyra Diaz masing-masing menjaringkan dua gol. Manakala satu lagi gol disumbangkan oleh pertahanan, Marcos Antonio.
#6 Johor Darul Ta’zim 5-0 Terengganu
Peringkat Kumpulan A – Piala Malaysia 2017 (01/08/2017)
Kemenangan keenam terbesar yang dicatatkan oleh JDT adalah ketika menentang Terengganu. Jaringan sulung pasukan JDT disempurnakan oleh anak kelahiran negeri Terengganu, Safawi Rasid menerusi sepakan penalti seawal minit ke-18. Selepas itu Fadhli Shas, S. Kunanlan, Hazwan Bakri dan Darren Lok masing-masing menjaringkan satu gol untuk membolehkan JDT merekodkan kemenangan 5-0 ke atas skuad pantai timur itu.
#7 Johor Darul Ta’zim 5-0 PKNP FC
Peringkat Kumpulan C – Piala Malaysia 2019 (23/08/2019)
Satu lagi kemenangan dengan 5-0 dicatatkan oleh JDT di Stadium Larkin adalah ketika menentang PKNP FC dalam saingan Piala Malaysia musim ini. Dalam perlawanan ini, Safawi Rasid berhasil meledak dua gol manakala Mauricio, Gonzalo Cabrera dan Diogo masing-masing menyumbang satu gol.
#8 Johor Darul Ta’zim 7-2 Kaya FC (Filipina)
Pusingan 16 – Piala AFC 2016 (25/05/2016)
Di tempat ke-8, perlawanan yang menyaksikan 9 gol terhasil di Stadium Larkin. JDT sendiri meraih 7 gol di mana Martin Lucero merekodkan hatrik ke atas wakil Filipina, Kaya FC dalam saingan Piala AFC 2016. Selain itu, Azammuddin Akil mencetak dua gol. Pereyra Diaz dan Mahali Jasuli masing-masing menyumbang satu gol.
#9 Johor Darul Ta’zim 7-0 Melaka United
Liga Super Malaysia 2017 (09/04/2017)
Kemenangan 7-0 ke atas Melaka United ini mungkin masih segar dalam kalangan penyokong skuad Harimau Selatan. Kapten pasukan, Safiq Rahim meraih hatrik dan Gabriel Guerra, Amirulhadi, Gonzalo Cabrera dan Azammuddin Akil masing-masing menjaringkan satu gol.
#10 Johor Darul Ta’zim 8-1 Ayeyawady United (Myanmar)
Peringkat Kumpulan H – Piala AFC 2016 (24/02/2016)
Ini merupakan kemenangan terbesar pernah dicatatkan oleh JDT dalam 7 tahun kebelakangan ini di Stadium Larkin. Lapan gol terhasil dengan kapten pasukan, Safiq Rahim mencetak hatrik. Martin Lucero berhasil meraih dua gol dan Diaz, Marcos Antonio serta Aidil Zafuan masing-masing menyumbang satu gol.
Featured Image: Johor Southern Tigers
Ulasan
Catat Ulasan