
PEMAIN PKNS FC, Romel Oswaldo Morales Ramirez (tengah) diasak pemain Terengganu, Lee Tuck (kiri) dalam perlawanan Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Shah Alam, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR 17 Sept. - Terengganu mengiringi Kedah dari Kumpulan A untuk mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia selepas menundukkan PKNS FC 2-0 di Stadium Shah Alam, hari ini.
Kedua-dua gol skuad Penyu dijaringkan oleh Sanjar Shaakhmedov seawal minit keempat dan Tchetche Kipre selang lima minit kemudian dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala Malaysia.
Kedah yang telah pun layak ke suku akhir kejohanan menewaskan Negeri Sembilan 4-2 di Stadium Darul Aman. Empat gol Kedah dijaringkan oleh Farhan Roslan pada minit ke-18, Fernando Rodriguez pada minit ke-45, Fayadh Zulkifli Amin (minit ke-78) dan Edgar Bernhardt (minit ke-90).
Gol Negeri Sembilan dijaringkan oleh Igor Luiz pada minit ke-34 dan Ferris Danial Mat Nasir pada minit ke-66.
Satu lagi aksi Kumpulan B menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang telah menempah tiket ke suku akhir Piala Malaysia menewaskan UiTM FC 2-1 di Stadium UiTM Shah Alam. Gol JDT dijaringkan Adam Nor Azlin pada minit ke-45 dan Fadhli Shas pada minit ke-59. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan