Langkau ke kandungan utama

Tengok rumput JDT

PEMANGKU Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika melawat
PEMANGKU Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika melawat Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor selepas pemasangan rumput dilakukan sepenuhnya pada 4 September lalu.
“Boleh tengok rumput JDT (Johor Darul Ta’zim) ia paling terkini dan terbaik”.
Itu antara saranan Ketua Unit Pengurusan Kemudahan dan Acara Pusat Sukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nur Ekmal Buhary ketika ditanya mengenai isu kualiti padang Stadium Nasional, Bukit Jalil yang dibangkitkan pengendali Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Selasa lalu.
Nur Ekmal berkata, rumput jenis cowgrass yang digunakan di Bukit Jalil sebenarnya sudah bagus dan sesuai di negara ini dengan mengambil kira faktor cuaca, muka bumi serta kos.
Begitupun, jika rumput ber­kenaan dilihat kurang sesuai dengan keperluan permainan bola sepak bertaraf dunia yang laju, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) boleh melihat rumput yang digunakan di stadium baharu JDT iaitu Stadium Sultan Ibrahim yang kini dalam fasa akhir untuk disiapkan.
“Sebenarnya rumput yang digunakan di Bukit Jalil sudah berkualiti dan mengikut piawaian AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) serta FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa), sepatutnya tidak timbul isu.
“Mungkin di negara lain seperti UAE mereka tidak guna cowgrass, jadi memang mereka akan rasakan perbezaan kerana fizikal rumput itu sendiri.
“Atas dasar itu mungkin mereka rasa tidak senang kerana taktikal tidak menjadi tetapi pada saya, sebagai orang yang terlibat de­ngan pengurusan padang, jika penyelenggaraan dibuat mengikut jadual, semuanya akan berjalan baik.
“Apa pun, kalau PSM mahu melihat satu lagi opsyen, mereka boleh tengok padang di stadium baharu JDT.
"Ia menggunakan rumput terkini iaitu Zoysia Zeon. Rumput ini juga diguna di Gelora Bung Karno, Jakarta,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selasa lalu, jurulatih UAE, Bert Van Marwijk berkata, kua­liti padang di Bukit Jalil tidak sehebat kecantikan stadium berkenaan dan ia sesuatu yang amat malang buat pemain Malaysia kerana tidak boleh bermain dengan laju.

Ulasan