Tengku Hazman serah nasib pada PBSNT


PENGENDALI Terengganu FC II (TFC II), Tengku Hazman Raja Hassan menyerahkan sepenuhnya masa depannya sebagai jurulatih kelab itu kepada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).
Beliau ditanya mengenai kedudukannya sebagai jurulatih selepas misi mempertahankan kejuaraan Piala Cabaran berakhir ketika tewas 2-4 secara agregat kepada Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam tadi.
."Apa jua keputusan biar pihak pengurusan tertinggi yang tentukan dan semua bergantung kepada perancangan mereka," katanya.

Md Rozaimi (tengah) meraikan jaringan kedua bersama rakan sepasukan pada perlawanan Separuh Akhir kedua Piala Cabaran di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mengulas mengenai persembahan skuad bimbingannya dalam perlawanan menentang JDT II, Tengku Hazman tetap berpuas hati dengan kesungguhan setiap pemain yang cuba memburu kemenangan tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.
"Memang sudah dijangka ia pertembungan sengit apabila berdepan JDT II tapi saya tetap berpuas hati kerana kebanyakan pemain TFC II adalah pemain muda dan kurang berpengalaman untuk beraksi pada perlawanan berintensiti tinggi.
"JDT II adalah pasukan serba lengkap namun kami tetap beri saingan sengit sehingga minit akhir perlawanan dan beberapa percubaan berbahaya yang hampir menghasilkan gol,” katanya.
Pada aksi separuh akhir kedua semalam tuan rumah memperoleh jaringan menerusi Nicolas Fernandez pada minit ke-53 diikuti gol kedua lima minit kemudian sumbangan Rozaimi Abd Rahman manakala gol saguhati TFC II dihasilkan Dechi Marcel minit ke-75.

Ulasan