Syafiq wira JDT atasi PJ City

PEMAIN JDT, Syafiq Ahmad (tengah) diasak pemain PJ City FC pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi. - Foto Aswadi Alias
PETALING JAYA: Impian PJ City FC untuk segera mengesahkan slot suku akhir Piala Malaysia tidak terlaksana apabila tewas 3-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.
Ini bermakna, skuad kendalian K Devan terpaksa menunggu hingga ke perlawanan terakhir kumpulan menentang PKNP FC, Selasa ini selepas lawan itu terus mengekalkan persaingan merebut slot kalah mati susulan kemenangan 4-0 ke atas UiTM FC.
Keputusan itu menyaksikan Harimau Selatan saah selaku juara Kumpulan B dengan mengumpul 13 mata.

Pada perlawanan berkenaan, penyerang kebangsaan Syafiq Ahmad muncul wira apabila menghasilkan dua gol buat JDT.
PEMAIN JDT, Syafiq Ahmad (dua dari kiri) beraksi dalam perlawanan menentang PJ City FC pada aksi Piala Malaysia di Stadium Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi. - Foto Aswadi Alias
Terdahulu, segalanya bermula baik buat tuan rumah apabila mendahului permainan seawal minit ke-10 menerusi Bae Beomgeun selepas rembatannya dari luar kotak penalti gagal ditepis keluar penjaga gol JDT, Mohd Farizal Marlias.
Bagaimanapun, selang 14 minit, kedudukan kembali seimbang apabila sepakan percuma Safawi Rasid terus menerjah gawang.
Minit ke-36, Syafiq membuktikan ketajamannya dengan meletakkan JDT di depan 2-1 sebelum rehat.

Bersambung babak kedua, ketika pelawat ghairah memburu jaringan, Washington Brandao berjaya meledak gol penyamaan buat PJ City FC pada minit ke-58, namun sekadar bertahan dua minit apabila Syafiq sekali lagi menggegar gawang lawan untuk gol kemenangan JDT.
PEMAIN JDT, Syafiq Ahmad (kanan) meraikan jariangannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang PJ City FC pada aksi Piala Malaysia di Stadium Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi. - Foto Aswadi Alias

Ulasan