PENYERANG JDT, Syafiq Ahmad (kanan) cuba mrlepasi kawalan pemain PJ City, Mohd. Nasriq Baharom dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Majlis Petaling Jaya malam tadi. - BERNAMA
KUALA LUMPUR 14 Sept. - Syafiq Ahmad mengakui, semangat Harimau Malaya yang masih membara membuatkan dia tidak sabar untuk mempamer aksi terbaik apabila kembali menyarung jersi Harimau Selatan.
Semalam, bintang penyerang kebangsaan itu meledak dua gol untuk membantu Johor Darul Ta'zim (JDT) mara ke suku akhir Piala Malaysia dengan menewaskan Petaling Jaya City (PJ City) 3-2, sekali gus muncul juara Kumpulan B.
Seorang lagi tonggak Harimau Malaya, Safawi Rasid turut cemerlang menjaringkan satu gol di Stadium Petaling Jaya, biarpun hanya mendapat rehat dua hari.
"Sebaik sahaja mendapat tahu akan diturunkan dalam kesebelasan utama, saya berazam untuk meneruskan momentum baik sebelum ini.
"Bagi saya, apa yang telah saya lakukan untuk Harimau Malaya harus diteruskan bersama JDT," kata Syafiq.
Penyerang berusia 24 tahun itu meledak satu gol ketika membantu Malaysia menewaskan Indonesia 3-2 di Jakarta dalam aksi pembukaan Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/2023 pada 5 September.
Dia turut menjaringkan gol pantas dalam tempoh tidak sampai seminit selepas perlawanan bermula ketika Harimau Malaya kalah tipis 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Bukit Jalil, Selasa lalu.
Sementara itu, pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, pasukannya bertuah memiliki ramai pemain berkualiti dengan skil individu yang hebat, dan mereka telah membawa perbezaan dalam perlawanan ini.
"PJ City pasukan yang kuat, terutama bermain di di padang mereka dan mendapat sokongan padu penonton tetapi kami hanya bermain dengan cara sendiri, teruskan penguasaan bola dan memberi permainan terbaik.
"Secara keseluruhan, saya rasa kami memiliki ramai pemain berkualiti dengan skil yang bagus, mereka telah membantu pasukan.
"Pada saya ini adalah perlawanan yang amat sengit dan sukar tetapi yang penting kami pulang bersama tiga mata," katanya.
PJ City mendahului seawal minit ke-10 menerusi Bae Beom-geun tetapi Safawi menyamakan kedudukan pada minit ke-24 sebelum Syafiq meletakkan JDT di depan pada minit ke-36.
Memasuki babak kedua, PJ City kembali memberikan tekanan apabila Washington Brandao Dos Santos menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-57, namun Syafiq hanya menunggu tiga minit kemudian untuk meledak gol kemenangan. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan