DIOGO Luis Santo (kiri) dan Kipre Tchetche menjadi sandaran JDT serta TFC untuk meledak gol di Larkin malam ini.
KUALA LUMPUR 28 Sept. - Menarik, sengit dan mendebarkan. Itulah yang bakal disajikan kepada penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) apabila kedua-dua pasukan berentap dalam suku akhir kedua Piala Malaysia di Larkin malam ini.
Kemenangan 1-0 yang diraih Harimau Selatan di Kuala Terengganu minggu lalu bukanlah kelebihan yang selesa, dan apa sahaja boleh berlaku dalam 90 minit permainan kedua.
Penyerang Brazil, Diogo Luis Santo dan pemain import dari Ivory Coast,
Kipre Tchetche masing-masing menjadi sandaran untuk meledak gol buat JDT dan TFC.
Kedua-dua pemain adalah penjaring terbanyak Piala Malaysia setakat ini dengan enam gol.
Jurulatih JDT, Benjamin Mora berkata, walaupun menang tipis 1-0 menerusi jaringan Diogo pada suku akhir pertama ia bukan jaminan juara Liga Super itu akan layak dengan mudah ke separuh akhir musim ini.
"Kami belum selamat lagi. Kemenangan 1-0 ke atas TFC tidak memberi jaminan slot ke separuh akhir. Kami ada baki 90 minit yang harus diharungi dan apa-apa pun boleh berlaku.
"Kami sudah membuat persiapan rapi dan memperbaiki kelemahan di semua bahagian. Misi kami ialah memenangi perlawanan malam ini dan mara ke separuh akhir," kata Mora.
JDT harus berwaspada dengan ancaman TFC yang mampu mencipta kejutan. Dalam perlawanan Liga Super,skuad Penyu seri 3-3 dengan JDT pada 19 Julai lalu di Larkin.
Bagi jurulatih TFC, Nafuzi Zain, beliau mengingatkan pasukannya agar tidak terlalu ghairah menyerang, sebaliknya turut berwaspada dengan taktikal lawan.
"Walaupun kita perlu menyerang untuk mencari sekurang-kurangnya dua gol bagi mengatasi JDT, saya ingatkan pemain supaya jangan terlalu ghairah kerana ia boleh memakan diri.
"Pemain perlu berwasapada di bahagian pertahanan supaya tidak dibolosi. Tetapi pemain juga harus bermain dengan penuh keyakinan, tanpa rasa takut walaupun di laman lawan.
"Pemain juga perlu mengikut perancangan. Kami perlu bermain secara berdisiplin untuk meraih keputusan positif.
"Dari segi mental, pemain sudah bersedia. Situasi ini pasti melegakan kerana pasukan perlu bangkit di Larkin biarpun bukan mudah untuk menewaskan JDT," kata Nafuzi. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan