PREVIU PIALA MALAYSIA - PM QF2 (SABTU). #PialaMalaysia2019


PREVIU PIALA MALAYSIA - PM QF2 (SABTU)

Perlawanan peringkat suku akhir kedua Piala Malaysia akan bermula malam ini dengan pertembungan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Penyerang Brazil, Diogo dan pemain Ivory Coast, Tchetche Kipre bakal menjadi pemain utama JDT dan TFC masing-masing untuk menjaringkan gol malam ini. Kedua-dua pemain merupakan penjaring terbanyak Piala Malaysia setakat ini dengan masing-masing telah menjaringkan enam gol.

Jurulatih JDT, Benjamin Mora berkata walaupun menang tipis 1-0 menerusi jaringan Diogo pada aksi suku akhir pertama di Kuala Terengganu, Sabtu lalu, ini bukan jaminan juara Liga Super musim ini akan layak ke separuh akhir musim ini.

"Kami belum selamat lagi. Kemenangan 1-0 ke atas TFC tidak memberi jaminan slot ke separuh akhir. Kami ada baki 90 minit yang harus diharungi dan apa-apa pun boleh berlaku.

"Kami sudah membuat persiapan rapi dan juga telah memperbaiki kelemahan pasukan di semua bahagian. Misi kami ialah untuk memenangi perlawanan malam ini dan mara ke peringkat separuh akhir," kata Mora.

JDT harus berwaspada dengan ancaman TFC yang mampu mencipta kejutan. Dalam perlawanan Liga Super, skuad Penyu seri 3-3 dengan JDT pada 19 Julai lalu di Larkin.

"Kami harus fokus and sentiasa tenang. Latihan menjelang pertembungan suku akhir kedua tampak begitu positif," ujar Mora.

Walaupun Diogo telah mencatat enam gol dalam Piala Malaysia setakat ini, rakan pasukannya Gonzalo Cabrera mempunyai rekod yang baik ketika melawan Terengganu FC di laman sendiri. Cabrera telah menjaringkan gol dalam tiga pertemuan terakhirnya dengan pasukan pantai Timur ini di Larkin.

Bagi jurulatih TFC Nafuzi Zain, beliau mengingatkan pasukannya agar tidak terlalu ghairah menyerang, tetapi juga berwaspada dengan taktikal lawan.

"Walaupun kita perlu menyerang untuk mencari sekurang-kurangnya dua gol untuk mengatasi JDT, saya telah ingatkan pemain supaya jangan terlalu ghairah kerana ia boleh memakan diri.

"Pemain perlu berwasapada di bahagian pertahanan supaya tidak dibolosi. Tetapi pemain juga harus bermain dengan penuh keyakinan, tanpa rasa takut walaupun di laman lawan.

"Pemain juga perlu mengikut perancangan. Kami perlu bermain secara disiplin untul mencipta keputusan positif.

"Dari segi mental, pemain sudah bersedia. Situasi ini pasti melegakan kerana pasukan perlu bangkit di Larkin biarpun bukan mudah untuk menewaskan JDT," kata Nafuzi.

Dengan lima “assist”, pemain tengah TFC, Lee Tuck terikat bersama pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar sebagai pemain dengan bantuan gol terbanyak di Piala Malaysia setakat ini. Tuck juga telah menyumbang dua gol dan pernah menjaringkan gol ketiga dalam perlawanan seri 3-3 antara dua pasukan ini di Larkin dalam aksi Liga Super.

Saksikan siaran langsung perlawanan malam ini di TV Okey dan di iflix!

Ulasan