PREVIU - CHALLENGE CUP CC6. #ChallengeCup2019

PREVIU - CHALLENGE CUP CC6

Aksi peringkat kumpulan Challenge Cup akan berakhir malam ini dengan tiga perlawanan menarik.

Pasukan manakah yang akan mengikuti Johor Darul Ta’zim II, UKM FC dan Terengganu FC II ke peringkat separuh akhir?

Dalam Kumpulan A, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) akan bertandang ke Stadium Negeri di Kuching untuk bertemu Sarawak.

JDT II sudah memenangi kumpulan dengan sembilan mata (rekod seratus peratus), manakala Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya satu mata untuk layak ke pusingan seterusnya, mengatasi Kelantan yang sudah mengakhiri kempen peringkat kumpulan mereka dengan tiga mata.

“Kita mahu memenangi kumpulan dengan rekod bersih memenangi kesemua perlawanan. Kita tidak akan memberi peluang kepada Sarawak malam ini,” kata ketua jurulatih JDT II, Ervin Boban.

“Kesemua pemain berada pada tahap kecergasan yang baik tetapi kita kena berhati-hati malam ini kerana Sarawak akan bermain bersungguh-sungguh dengan harapan mendapat mata.

“Kita telah menganalisa kesilapan yang berlaku dalam perlawanan sebelum ini, dan saya mahu pemain menunjukkan tahap permainan yang lebih bagus,” ulas Boban.

Skuad Bujang Senang akan turun padang dengan penuh keyakinan selepas menewaskan Kelantan 2-0 dalam pusingan CC4.

Sarawak juga mempunyai rekod yang memuaskan di laman sendiri dengan dua kemenangan dan satu kekalahan dalam tiga perlawanan terakhir di Kuching.

Ulasan