PREVIU CHALLENGE CUP - CC SF2. #ChallengeCup2019


PREVIU CHALLENGE CUP - CC SF2

Finalis Challenge Cup 2019 akan ditentukan hujung minggu ini dengan empat pasukan yang masih berpeluang untuk layak.

Johor Darul Ta’zim II (JDT II) akan melayan kunjungan juara bertahan, Terengganu FC II (TFC II) dalam perlawanan separuh akhir kedua Challenge Cup di Stadium Majlis Perbadanan Pasir Gudang malam ini.

Pada aksi pertama di Kuala Terengganu, pasukan Ervin Boban mengejutkan TFC II 2-1 melalui jaringan Darren Lok dan S. Kumaahran.

Walaupun mempunyai kelebihan gol yang tipis, Boban bersikap berhati-hati dalam usaha untuk menewaskan TFC II sekali lagi dan layak ke pentas final buat kali pertama.

“Kami menjangkakan perlawanan yang sengit. Sudah pasti, TFC II akan bermain habis-habisan mencari gol. Kami perlu berhati-hati dengan asakan mereka.

“Saya tidak mahu pemain berada dalam keadaan selesa. Pemain harus berkerja keras lagi kerana apa-apa boleh berlaku dalam baki 90 minit perlawanan ini,” kata Boban.

Untuk memastikan JDT II tidak dibolosi, Boban bakal mempertaruhkan gandingan Bruno Soares dan Adib Zainudin untuk mengemudi benteng pertahanan.

Jurulatih kelahiran Croatia itu juga akan menurunkan Nicolas Fernandez untuk mengemudi bahagian tengah, dibantu oleh Kumaahran dan Shakir Shaari.

Mohamad Ghaddar, yang sudah menjaringkan tiga gol setakat ini, dijangka akan mengetuai bahagian serangan JDT II.

“Sudah pasti, saya akan menurunkan kesebelasan utama dalam perlawanan ini,” katanya.

Kedua-dua gol dalam perlawanan separuh akhir pertama dijaringkan hasil hantaran Fernandez, yang sudah mempunyai enam bantuan gol dalam Challenge Cup setakat ini.

Pengendali TFC II, Tengku Hazman Raja Hassan berkata pemain perlu berusaha keras bagi mendapatkan jaringan awal bagi menyuntik motivasi mereka selain memberi tekanan kepada pihak lawan.

“Perlawanan separuh akhir ini belum berakhir. Kami masih berpeluang layak ke final. Saya berkeyakinan pemain akan memberi aksi terbaik bagi memastikan kejayaan.

“Kami perlu menyerang tetapi bijak bertahan juga dan perlu menjaringkan gol awal bagi menaikkan semangat pemain,” kata Tengku Hazman.

TFC II masih belum menewaskan JDT II dalam tiga pertemuan musim ini dengan satu seri dan dua kekalahan dan TFC II akan memburu kemenangan pertama sejak menewaskan Selangor United 2-0 pada 28 Ogos.

Mereka akan mengharapkan penjaring terbanyak Challenge Cup, Bruno Suzuki yang sudah meledak enam gol setakat ini. 

Ulasan