Langkau ke kandungan utama

PKNP ada potensi ke suku akhir - Abu Bakar

LUMUT, 14 Sept. - Jurulatih Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC, Abu Bakar Fadzim yakin pasukannya mampu ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia selepas menewaskan UITM FC 4-0 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini, malam tadi.
Abu Bakar berkata perlawanan berdepan dengan Petaling Jaya (PJ) City di laman sendiri, Selasa ini memberikan kelebihan kepada anak buahnya untuk mengatasi pasukan tersebut.
"Bagaimanapun kita tahu PJ City mempunyai kekuatan tersendiri dan kita meletakkan 50-50 kerana masing-masing mahu mencipta kemenangan untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir.
"Kita dahagakan kemenangan selepas tewas 5-0 kepada Johor Darul Ta'azim (JDT) FC sebelum ini dan saya harapkan kemenangan pada malam ini bersambung menentang PJ City nanti," katanya pada sidang media selepas perlawanan tersebut malam tadi.
Dalam perlawanan tersebut, PKNP FC berjaya menewaskan UITM FC, 4-0, menerusi gol hatrik Giancarlo Lopes dan Mohamad Hafiz Ramdan.
Sementara itu, pengendali UITM FC, Ismail Zakaria berkata beliau berharap pemainnya menjadikan kekalahan tersebut sebagai pengalaman dan motivasi untuk bermain dengan lebih baik bagi persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Beliau berkata anak buahnya tetap akan bermain dengan semangat tinggi untuk menang pada perlawanan terakhir menentang JDT minggu hadapan biarpun mengetahui peluang agak nipis.
"Walaupun kita sudah tersingkir (saingan Piala Malaysia), tetapi kita akan buat yang terbaik menentang JDT FC nanti.
"Untuk berada di tahap ini sudah cukup membanggakan. Kita tidak meletakkan harapan tinggi dalam kejohanan ini dan saya jadikan ia sebagai tempat untuk pemain mendapat lebih banyak pengalaman bermain dengan pasukan yang lebih baik," katanya. - BERNAMA

Ulasan