Dipetik berkata kepada The Star, pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) dan skuad kebangsaan, Syamer Kutty Abba bertekad membaiki kelemahan dan membantu JDT menjuarai Piala Malaysia.
Pemain tengah tinggi lampai itu dikritik hebat ketika diturunkan di babak kedua menentang UAE dalam kempen kelayakkan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 disebabkan gagal meledak jaringan apabila dibawa masuk pada penghujung perlawanan.
Ia adalah posisi yang tidak asing baginya apabila Tan Cheng Hoe memasukkannya di jentera serangan, namun mungkin setelah agak lama berubah ke jentera tengah, Syamer Kutty Abba sedikit kekok.
“Ia sangat menyakitkan membaca segala komen negatif di media sosial walaupun saya tahu kritikan adalah sebahagian daripada kehidupan pemain bola sepak,” tutur pemain muda itu.
“Dalam setiap perlawanan yang diturunkan, saya memberikan yang terbaik disamping belajar benda baharu. Saya tahu perkara-perkara yang perlu diperbaiki dan umur menyebelahi saya.
“Saya akan bangkit semula dan kembali memperbaikinya. Saya gembira jurulatih JDT dan skuad kebangsaan sentiasa percaya yang saya boleh melakukan yang lebih baik. Saya tidak akan biarkan komen negatif ini mengganggu saya membina karier,” tambahnya.
Bercakap mengenai saingan Piala Malaysia, Syamer Kutty Abba percaya kelebihan beraksi di Larkin akan membantu JDT untuk mara ke separuh akhir seterusnya merangkul Piala Malaysia.
“Kami mahu melangkah jauh dalam Piala Malaysia kali ini. Kami serius untuk memenangi perlawanan dan anda dapat lihat semangat para pemain dan jurulatih dalam sesi latihan.
“Kami harus berwaspada dalam setiap perlawanan. Di JDT, segalanya tentang kemenangan. Di Terengganu, kita mendapat tentangan sengit dan meraih kemenangan. Sekarang ini adalah masa untuk kembali fokus untuk aksi timbal balik,” jelasnya.
Walaupun posisinya sentiasa menjadi rebutan beberapa pemain seperti Afiq Fazail, Hariss Harun, Nazmi Faiz dan kini Gary Steven Robbat, Syamer Kutty Abba sentiasa bersemangat untuk bersaing mendapat tempat dalam kesebelasan utama.
JDT akan turun di laman sendiri menentang Terengganu FC pada malam ini dalam penentuan slot ke separuh akhir Piala Malaysia dengan kelebihan satu gol dibawa dari Kuala Terengganu tempohari hasil jaringan penyerang sensasi, Diogo.
Kredit Featured Image: Johor Southern Tigers (JST)
Ulasan
Catat Ulasan