Piala Malaysia 2019: 2 Gol Syafiq Ahmad Benam PJ City, Giancarlo Wira Hatrik PKNP FC


Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan slot ke suku akhir selepas membenam cabaran PJ City FC, sementara PKNP FC mendekatkan jurang mata dengan kemenangan besar ke atas UiTM FC dalam aksi kelima Kumpulan B, Piala Malaysia 2019, malam tadi.
Berbekalkan 13 mata, JDT layak ke suku akhir apabila menjuarai saingan kumpulan dengan PJ City berada di kedudukan kedua mengumpul 9 mata, dua mata di depan pencabar, PKNP FC. Kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan pada Selasa.

Syafiq Ahmad bawa prestasi skuad kebangsaan



Dua gol peribadi Syafiq Ahmad membantu JDT untuk menewaskan PJ City di Stadium MBPJ dengan keputusan 3-2 seterusnya menghadiahkan pelawat tiket ke suku akhir Piala Malaysia.
Harimau Selatan terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan tuan rumah pada minit ke-10 menerusi rembatan dari luar kotak penalti oleh Bae Beom-geun menewaskan Farizal Marlias sebelum Safawi Rasid berhasil menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-24.
Minit ke-37, Syafiq Ahmad yang meledak dua gol bersama skuad kebangsaan dalam saingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia baru-baru ini meledak gol kedua JDT dan pertamanya di Piala Malaysia.
Washington Brandao memberikan PJ City nyawa menerusi jaringan penyamaan di minit ke-58 – jaringan ketiga dalam saingan Piala Malaysia, sebelum Syafiq Ahmad muncul wira buat JDT dua minit kemudian menghasilkan gol ketiga dan kemenangan pelawat.

Hatrik Giancarlo julang PKNP FC




Bangkit daripada kekalahan besar 0-5 kepada JDT di minggu ke-4, PKNP FC berhasil meraih kemenangan berharga 4-0 ke atas UiTM FC untuk merapatkan jurang mata dengan pencabar, PJ City.
Pemain yang dipinjam daripada PJ City, Giancarlo mencetak hatrik bermula pada minit ke-10 hasil tandukkan mudahnya di depan gawang The Lion Troops sebelum Hafiz Ramdan menambah gol pada minit ke-64 untuk PKNP FC 2-0 mendahului aksi.
Tuan rumah menggandakan jaringan gol sekali lagi menerusi Giancarlo pada minit ke-86 sebelum beliau akhirnya melengkapkan hatriknya seminit kemudian hasil rembatan deras di depan gawang pelawat untuk jaringan ke-4 peribadi dalam saingan Piala Malaysia.
Tumpuan pada Selasa depan adalah satu tiket ke suku akhir yang akan menjadi rebutan antara PKNP FC dan PJ City dengan pertembungan sesama sendiri di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Kredit Featured Image: Johor Southern Tigers (JST)

Ulasan