AKSI terakhir Kumpulan B saingan Piala Malaysia melibat PJ City FC menentang PKNP FC yang sepatutnya berlangsung di Manjung malam ini ditangguhkan pada Jumaat selepas laporan kesihatan mengesahkan beberapa pemain pasukan yang berpangkalan di Petaling Jaya itu dijangkiti virus Influenza B.
Perkara tersebut diumumkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) semalam sekali gus kedua-dua pasukan berkenaan perlu menunggu selama tiga hari lagi untuk merebut satu lagi tiket ke pusingan suku akhir setelah Johor Darul Ta’zim (JDT) memperoleh slot lebih awal dengan mendahului saingan kumpulan apabila memiliki kelebihan empat mata.
Keputusan berkenaan dilakukan oleh badan pengendali liga untuk menjaga kepentingan dan kebajikan pasukan supaya penyakit berkenaan tidak merebak.
“MFL telah mengambil langkah dan membuat keputusan untuk menunda perlawanan antara PKNP dengan PJ City ke tarikh 20 September ini bagi memastikan penyakit ini tidak merebak.
“Kami sentiasa memandang serius isu ini dan percaya tempoh masa yang diberikan itu akan dapat membantu pasukan PJ City melakukan persediaan untuk berdepan PKNP pada tarikh baharu berkenaan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan MFL semalam.
Sebagai rekod, penundaan perlawanan kerana positif virus Influenza B bukanlah sesuatu yang baru, di mana MFL sebelum ini telah menunda dua perlawanan Liga Super membabitkan Johor Darul Ta’zim menentang PJ City FC (10 Julai ke 16 Julai) serta PKNS FC menentang Melaka (12 Julai ke 16 Julai) kerana isu sama.
Sementara itu, MFL menjelaskan, bagi pasukan yang ditimpa masalah kehilangan pemain seperti kes dijangkiti virus Influenza, mereka masih dibenarkan menggunakan pemain muda yang didaftarkan atau bermain dalam pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia seperti tertakluk dalam peraturan pertandingan Liga Malaysia (Liga M).
Berdasarkan peraturan pertandingan Liga M itu membabitkan pemain berstatus Piala Presiden dan Piala Belia, tiada had jumlah pemain yang boleh didaftarkan untuk bermain dalam satu-satu perlawanan di mana pemain tersebut haruslah mewakili pasukan yang sama.
Ulasan
Catat Ulasan