NILAI PENCETUS KEJAYAAN DALAM ORGANISASI JOHOR DARUL TA’ZIM

NILAI PENCETUS KEJAYAAN DALAM ORGANISASI JOHOR DARUL TA’ZIM
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sentiasa bercita-cita dan menanamkan keinginan tinggi untuk mencapai prestasi maksimum, menetapkan matlamat yang jelas serta bangkit dengan semangat baharu pada setiap hari. Dengan adanya nilai ini, ia menjadikan kelab kebanggaan kita ini sentiasa berkembang dan tidak statik di tahap yang sama.
SEMANGAT KERJA BERPASUKAN
Bagaimana untuk memastikan nilai ini sentiasa berotasi atas paksi? Rahsianya adalah semangat bekerja berpasukan. Kerja berpasukan adalah salah satu sifat paling utama untuk mana-mana organisasi yang inginkan kejayaan.
Hanya dengan semangat bekerja dalam satu pasukan akan menjadikan sistem dalam organisasi tersebut kukuh dan selamanya komited merealisasikan tanda aras yang telah ditetapkan.
ANGGOTA PENTING DALAM ORGANISASI
Pemilik, pengurusan, barisan jurulatih, pemain termasuk penyokong setia Harimau Selatan adalah anggota penting dalam organisasi ini. Dengan kukuhnya jalinan ikatan antara satu sama lain, menjadikan semangat bekerja berpasukan dalam organisasi ini sentiasa berinteraksi secara aktif dan prospektif dengan persekitaran.
Prospektif ialah sifat mencari peluang baharu untuk menguasai keadaan atau untuk meraih kejayaan dan kerana faktor inilah Harimau Selatan sentiasa memandang kehadapan serta berada jauh meninggalkan pesaing-pesaing dalam liga domestik tanah air.
INOVATIF DALAM MENJADI YANG TERBAIK
Organisasi yang mempunyai semangat kerja berpasukan yang mantap juga akan sentiasa inovatif. Inovatif ini adalah satu keadaan yang akan menjadikan organisasi ini efisien serta berwawasan.
JDT kini menjadi sebuah kelab yang semakin sempurna setelah berjaya membuat pembaharuan prasarana, fasiliti, teknologi serta stadium yang serba lengkap serta terbaik bukan sahaja di Malaysia malah ke arah memburu pengiktirafan terbaik di Asia Tenggara.
Akhir kata, semangat kerja berpasukan ini akan bernyawa jika mempunyai seorang pemimpin yang terulung. Hanya pemimpin yang tahu arah tujuan organisasi sahaja dapat mempengaruhi orang lain untuk bekerja bersungguh-sungguh dalam mencapai tujuan yang diinginkan.
DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja dilihat merupakan individu yang mempunyai sifat kepimpinan sejati apabila berjaya membentuk jalinan yang akrab antara diri baginda, pengurusan, barisan kejurulatihan, pemain serta penyokong Harimau Selatan lantas menjadi transportasi organisasi ini untuk terus menghambat kejayaan di hadapan.
“Ujian paling hebat dari seorang pemimpin adalah mewariskan kepada orang-orang yang dipimpinnya lebih keyakinan dan kemahuan untuk terus maju.” – Walter Lippman
Sumber artikel: Media JST

Imej

Ulasan