Mora gembira prestasi JDT

Aksi pemain Johor Darul Takzim (JDT) Gonzalo Giardano (kanan) diasak pemain Terengganu FC, Hafizal Mohamad pada saingan Suku Akhir Pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - NSTP/Ghazali Kori
KUALA TERENGGANU: Pengendali Johor Darul Ta`zim (JDT) Benjamin Mora gembira dan berpuas hati dengan kualiti yang dipamerkan anak buahnya biarpun hanya menang tipis 1-0 ke atas Terengganu FC (TFC) pada aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
Walaupun diasak hebat pemain skuad Penyu, Mora berkata anak buahnya kental bertahan dan berjaya mendapat kelebihan satu gol sebelum aksi kedua di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin Sabtu ini.
Bagaimanapun jurulatih kelahiran Mexico berusia 40 tahun itu menyatakan persaingan untuk merebut tempat ke separuh akhir masih berliku dan belum tamat kerana masih ada baki 90 minit lagi yang perlu diharungi pemainnya sebelum mengesahkan tempat dalam kelompok empat pasukan terbaik.
Katanya, tiada istilah sempurna di dalam bola sepak sebaliknya beberapa aspek perlu diperbaiki pemainnya dalam misi merangkul kejuaraan piala berprestij di Malaysia itu selepas terkandas di peringkat separuh akhir kepada TFC musim lalu.    
“Saya sangat berpuas hati dan gembira dengan aksi pemain malam ini (malam tadi), ia dapat dilihat apabila mereka terus beraksi dengan baik sepanjang 90 minit dengan banyak percubaan tepat ke arah gol lawan biarpun hanya mampu meledak satu jaringan,” kata Mora.
"Namun begitu saya ingatkan pemain perjuangan belum selesai kerana masih ada baki 90 minit lagi dan apa-apapun boleh berlaku jika pemain tidak berwaspada.
“Justeru, saya sudah memikirkan strategi terbaik untuk mengekang pasukan lawan pada aksi kedua Sabtu ini dan kami tidak boleh memberi ruang kepada TFC untuk bebas menguasai bola.
“Jadi dengan masa yang ada, kami akan meningkatkan kualiti ketika sesi latihan bagi mengulangi permainan yang sangat baik ditampilkan pemain pada malam ini (malam tadi)."
Pada aksi itu, penyerang sensasi JDT, Diogo Santo meledak jaringan cantik skuadnya pada babak pertama perlawanan sekali gus membantu skuadnya mempunyai sedikit kelebihan sebelum aksi kedua nanti.
Sementara itu kapten JDT, Hariss Harun mengakui skuadnya belum selesa lagi biarpun beraksi di laman mereka dengan kelebihan tipis satu jaringan.
"Kami perlu fokus dan beraksi terbaik sebagai satu pasukan dalam misi untuk melangkah ke separuh akhir dan seterusnya ke final," kata Harris.

Ulasan