Malik buru trofi ketiga

PEMAIN Terengganu FC, Malik Mat Ariff semasa menjalani sesi latihan menjelang perlawanan suku akhir menetang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. NSTP/Ghazali Kori
KUALA TERENGGANU: Wira Terengganu FC (TFC) dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia musim lalu, Malik Mat Ariff bertekad mahu menggegarkan gawang Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali lagi apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok. 
Selain itu, bekas penyerang Pahang terbabit turut berazam membantu pasukannya melangkah ke final piala berprestij berkenaan musim ini selepas sekadar muncul naib juara musim lalu.
"Saya tekad memberikan yang terbaik untuk membantu pasukan melangkah ke separuh akhir biarpun akui bukan tugas mudah buat kami berdepan dengan juara Liga Super itu,” kata Malik yang pernah menjulang Piala Malaysia bersama Pahang pada musim 2013 dan 2014.
"Tapi jika semua rakan sepasukan memberikan yang terbaik sehingga minit terakhir perlawanan, sudah pasti peluang untuk melakar kemenangan cerah lebih-lebih lagi beraksi di depan penyokong sendiri.
"Secara peribadi memang saya berhasrat untuk mengulangi pencapaian musim lalu selepas meledak gol kemenangan pasukan, namun apa yang lebih penting kami wajib catat keputusan selesa, siapa yang jaringkan gol itu tidak penting." 
Pada aksi separuh akhir pertama di Kuala Terengganu musim lalu, jaringan Malik pada minit ke-78 hasil umpanan Kipre Tchetche berjaya membantu pasukannya melakar kemenangan 1-0 sebelum seri 2-2 pada aksi kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
"Bagi saya semua pemain yang diturunkan perlu mengikut arahan dan taktikal yang sudah dirancang jurulatih, saya juga harap aura penyokong dapat membangkitkan semangat kami untuk terus berjuang hingga minit terakhir perlawanan sebelum aksi kedua di tempat lawan pada 28 September depan.
"Satu lagi harapan saya kami tidak bolos di tempat sendiri dan cuba dapatkan jaringan awal, selain pemain JDT harus diawasi kerana mereka mempunyai pengalaman.
"Kita tidak boleh leka dan memberi ruang kepada lawan bagi memastikan impian kami ke final tercapai, lebih-lebih lagi Piala Malaysia cukup 'berhantu' buat saya," katanya. 

Ulasan