KEJAYAAN DEMI KEJAYAAN AKADEMI PETANDA PEMBANGUNAN AKAR UMBI HARIMAU SELATAN MULA TUAI HASIL

KEJAYAAN DEMI KEJAYAAN AKADEMI PETANDA PEMBANGUNAN AKAR UMBI HARIMAU SELATAN MULA TUAI HASIL
Pembangunan akar umbi (Grassroot Development) adalah perkara lazim yang menjadi keutamaan dalam kesinambungan kejayaan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Dengan kesedaran yang kuat atas kepentingan teras jangka hayat Harimau Selatan, segala perancangan terperinci telah diaturkan demi kelancaran perjalanan mengimplementasikan aspirasi tersebut.
Definisi pembangunan akar umbi tanpa tiada perhatian sepenuhnya boleh dianggap sebagai kegagalan. Faktor ini juga dilihat boleh merencatkan perkembangan bakat-bakat muda tanah air untuk terus menyinar. DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja bersama pengurusan organisasi JDT melihat dengan jelas bahawa masih terdapat banyak kekurangan dan kecacatan dalam modul pembangunan akar umbi di Malaysia.
Oleh itu, sekitar tahun 2014 hingga 2015, satu tindakan drastik telah diusahakan oleh baginda iaitu mencari jalan penyelesaian kepada masalah tersebut. Salah satu cara paling cepat, efisien, berkesan dan pantas adalah dengan membuat kolaborasi bersama kelab terbaik luar negara dalam melaksanakan modul paling terbaik untuk projek pembangunan akar umbi JDT.
KEJAYAAN MEMBAWA KEPAKARAN BORUSSIA DORTMUND
Imbas kembali, kehadiran Pengarah Pembangunan Belia Borussia Dortmund, Mr Edwin Boekamp untuk bertemu DYAM Tunku Mahkota Ismail yang mana ketika itu masih lagi menyandang jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor pada tarikh 16 dan 17 Oktober 2014 telah menjadi titik tolak bermulanya perkara-perkara positif pembangunan bola sepak negeri Johor.
Antara perancangan yang dibincangkan adalah perkembangan bakat-bakat muda yang berpotensi seawal usia 9 hinggalah ke usia 18 tahun. Satu memorandum persefahaman antara Borussia Dortmund dan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) juga telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Borussia Dortmund lantas menjadikan JDT sebagai kelab Asia pertama menjalin kerjasama dengan gergasi bola sepak Jerman tersebut.
Jalinan usahasama antara kedua-dua kelab itu melibatkan perkongsian kelestarian projek akar umbi, kepakaran, maklumat latihan serta taktikal.
“Saya berbesar hati dengan kerjasama jangka panjang ini dan teruja untuk melihat masa depan bakat-bakat muda negara dalam sukan bola sepak. Sasaran kerjasama ini bukan sekadar kejayaan yang dilakar JDT, tetapi lebih daripada itu iaitu usaha pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.”- DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja
GERAK LANGKAH YANG TIDAK BERHENTI
Rentetan dari kejayaan kerjasama dengan kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund, langkah baginda tidak berhenti di situ. Sekitar akhir tahun 2015, DYAM Tunku Mahkota Ismail telah memulakan pula lawatan bertemu pemilik dan pengurusan Valencia CF di Sepanyol bagi membincangkan kerjasama yang bakal dijalinkan antara kedua-dua kelab berkenaan. Sudah tentu, pembangunan akar umbi menjadi agenda utama dalam intipati pertemuan tersebut.
Setelah itu, umpama misi serampang dua mata, baginda juga berjaya membuat pertemuan bersama pihak pengurusan Barcelona FC serta melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Real Madrid CF, Florentino P’rez. Tidak cukup dengan itu, sebelum berangkat pulang ke Johor, ketika singgah di Perancis, DYAM Tunku Mahkota Ismail telah mengadakan satu pertemuan bersama Naseer Al-Khelafi, Presiden Paris St Germain.
Segala pertemuan dengan kelab-kelab terkemuka dunia ini telah membawa khabar baik dalam pembinaan empayar kelab kebangaan rakyat Johor ini. DYAM Tunku Mahkota Ismail mendedahkan bahawa perbincangan tersebut telah memberi peluang meluas kepada organisasi JDT untuk membuat jaringan usahasama dalam jangka masa yang panjang.
USAHA YANG SEMAKIN MEMBUAHKAN HASIL
Hasil kerjasama dan perkongsian maklumat dari kelab-kelab terkemuka dunia tersebut, sekitar tahun 2016, JDT juga telah mendapat suntikan modul-modul latihan yang baharu dalam meningkatkan kualiti permainan setiap pemain yang berada dalam akademi JDT, malah ketika itu, baginda optimis dengan segala usaha yang telah dipergiatkan, ianya pasti akan membuahkan hasil dalam masa tiga tahun akan datang. JDT juga dilihat mempunyai peluang cerah dalam memproduksikan bakat-bakat baru yang berkualiti di masa hadapan.
“Tiga tahun, saya optimis segala usaha kita akan membuahkan hasil”- DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja
Benar, ianya benar-benar menjadi realiti, sekitar tahun 2018, bakat-bakat muda JDT dibawah akademi JDT mula menunjukkan taring, skuad bawah-14, bawah-15 dan bawah 18 telah memonopoli kejuaraan kebangsaan manakala JDT bawah-13 pula memenangi kejuaraan antarabangsa apabila mendominasi kejohanan ‘JSSL International Professional 7s’ di Singapura.
Pada tahun ini pula, Akademi JDT terus menjadi igauan ngeri pasukan-pasukan muda tanah air apabila menambahkan lagi rekod kejuaraan di peringkat akar umbi setelah skuad akademi JDT bawah-12, bawah-14 dan bawah-17 mengaut kejuaraan kebangsaan dipersaingan melibatkan peringkat umur masing-masing.
Akhir kata, cerita masa hadapan JDT semakin jelas. Segala impian dan cita-cita DYAM Tunku Mahkota Ismail terhadap pembangunan akar umbi juga sudah semakin menampakkan impak positif.
“Masa depan bola sepak negara bergantung kepada pembangunan akar umbi,”- DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja
Sumber artikel: Media JST

Imej

Ulasan