Kedah layak, TFC kena tunggu

PEMAIN Kedah, Jonatan Jesus Bauman meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Terengganu FC (TFC) pada aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi. - Foto Rozainah Zakaria
KUALA TERENGGANU: Kedah layak ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-2 pada aksi kelima peringkat Kumpulan A di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.
Manakala TFC yang mengumpul sembilan mata, satu mata di belakang Kedah terpaksa menunggu hingga perlawanan terakhir menentang PKNS pada 17 September ini sebelum mengesahkan kelayakan.
Kedah yang tewas 2-0 di tangan TFC pada aksi pusingan pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar, bermula garang apabila meledak gol pembukaan pada minit ketiga menerusi ayam tambatannya, Jonathan Bauman.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad kendalian Nafuzi Zain menggandakan asakan untuk memburu jaringan, namun tandukan Nasrullah Haniff Johan pada minit ke-13 dapat dibaca penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.
PEMAIN Terengganu FC, Serhii Andrieiev (dua dari kanan) beraksi dalam perlawanan menentang Kedah pada aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi. - Foto Rozainah Zakaria
Pemain sayap TFC kelahiran Pendang, Kedah, Mohamad Nabil Ahmad Latpi hampir mencetak namanya sebagai penjaring, tetapi rembatan kencangnya dari luar kotak penalti terkena palang.
Debaran lebih 10,000 peminat setia skuad Penyu akhirnya terlerai apabila pengadil, Zulkifli Ahmad menghadiahkan penalti kepada TFC selepas Renan Alves mengasari Lee Tuck dan pemain berdarah campuran England-Malaysia itu menyempurnakan sepakan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-32.
Bagaimanapun jaringan itu tidak bertahan lama apabila pemain import Helang Merah kelahiran Kyrgyzstan, Edgar Bernhardt berjaya memanfaatkan peluang terhidang dalam kotak penalti pada minit ke-36 dengan merembat masuk hantaran Farhan Roslan untuk mendahului 2-1.
Skuad Penyu sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-60 menerusi pemain gantian, Malik Mat Ariff yang menampan bola sepakan percuma Tuck.
Ketika permainan berbaki empat minit, Baddrol Bakhtiar meledak gol kemenangan Kedah.

TFC terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain apabila pertahanannya, Hafizal Mohamad dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-88.
PEMAIN Kedah, Jonatan Jesus Bauman (tengah) diasak pemain Terengganu FC pada aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi. - Foto Rozainah Zakaria

Ulasan