Pemain import Kedah, Fernando Rodriguez Ortega diasak pemain Negeri Sembilan pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, malam tadi. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
ALOR SETAR : "Sama ada PKNP FC atau Petaling Jaya City (PJ City FC) masing-masing memiliki kehebatan tersendiri dan mereka bukan lawan yang mudah buat kami. " itu luahan pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak selepas Kedah menewaskan Negeri Sembilan 4-2 di Stadium Darul Aman dan sekali gus menjuarai Kumpulan A Piala Malaysia semalam.
Namun persoalan 'siapa' bertemu Kedah bakal hanya terjawab pada 20 September ini selepas penangguhan perlawanan antara kedua-dua pasukan diumumkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) baru-baru ini, sekali gus menyaksikan aksi suku akhir pertama pula dijadualkan pada 24 September ini.
"PJ City ada kelebihan sendiri dari segi semangat juang yang tinggi walaupun pemain mereka tiada nama, tapi mereka mahu bermain dengan sebaiknya dan mereka juga telah mengecewakan pasukan besar sebelum ini."
"PKNP FC pula kita tahu yang kita pernah seri 1-1 dengan mereka di sini, jadi bukannya mudah dengan siapa yang akan kita jumpa, saya harus mengingatkan pemain kita agar tidak mengambil mudah kerana jika mana-mana pihak lawan mendahului dari segi jaringan, mereka akan bertahan."
Berdasarkan dua jaringan yang dibolosi oleh Negeri Sembilan semalam, Aidil berharap skuadnya dapat memperbaiki kelemahan yang ada dan tidak memberi ruang mudah buat mana-mana pihak lawan di peringkat suku akhir nanti.
"Kita perlu lakukan sesuatu untuk terus memperbaiki kelemahan yang ada dan kita tak boleh ambil mudah kerana dalam saingan Piala Malaysia ini apa-apa juga kejutan boleh berlaku.
"Kita ada masa untuk melakukan persiapan kerana aksi PKNP menentang PJ City ditangguhkan dan saya akan sendiri akan hadir melihat perlawanan antara kedua-dua pasukan itu dan dari situ kita akan lihat taktikal yang harus kita rancangkan."
"Kita akan terus bekerja keras dan tidak boleh relaks selepas kita menang malam ini kerana kita perlu teruskan perjuangan dan komited dalam latihan nanti untuk persiapan bagi mendapatkan aksi yang lebih baik di suku akhir nanti dan yang penting sekali kita perlu fokus 100 peratus ketika beraksi nanti," katanya.
Mengenai reaksi Aidil pada perlawanan yang dimenangi Kedah semalam, pengendali kelahiran Singapura ini melahirkan rasa syukur selepas skuadnya berjaya muncul juara kumpulan A yang jelas mempunyai saingan yang sengit
"Apa yang kita mahukan pada malam ini iaitu tiga mata dan kedudukan teratas Kumpulan A sudah tercapai walaupun sebelum ini kita tewas 0-2 kepada Terengganu dan ada sebilangan orang merasakan Kedah akan tewas sekali lagi di Terengganu pada minggu lalu namun akhirnya kita menang."
"Selepas kita berjaya mengutip tiga mata dengan kemenangan 3-2 di Terengganu, saya perlu memuji pemain saya yang tidak mudah berputus asa termasuk bila mereka cuti beraksi, mereka tetap bekerja keras dalam latihan dan lakukan persediaan untuk memburu kemenangan berterusan dan ini dibuktikan dalam perlawanan malam ini."
"Kita boleh lihat bagaimana pemain berjuang untuk memastikan kejayaan dan sikap serta komitmen tinggi yang telah mereka pamerkan walaupun ada antara mereka masih mengalami kecederaan seperti Fernando Rodriguez yang mengalami kecederaan paha, David Rowley dan juga Baddrol Bakhtiar yang mengalami kecederaan di kepala," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan