Langkau ke kandungan utama

JDT dapat ibu pejabat baharu

PEMANGKU Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik
PEMANGKU Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenan memotong reben sebagai tanda merasmikan ibu pejabat kelab Bola Sepak JDT yang terletak bersebelahan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, semalam. Turut hadir Hamidin Mohd Amin (dua, kiri). - BERNAMA
ISKANDAR PUTERI 4 Sept. - Bangunan yang menempatkan ibu pejabat Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) terletak bersebelahan Stadium Sultan Ibrahim di Gelang Patah di sini, dibuka secara rasmi hari ini.
Majlis pembukaannya disempurnakan sendiri oleh pemilik kelab itu Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada kira-kira 9.30 pagi tadi.
Hadir sama dalam majlis pembukaan itu ialah Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal; barisan exco kerajaan negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Datuk Ismail Karim.
JDT, dalam satu kenyataan berkata bangunan empat tingkat itu dibina di atas tanah berkeluasan 2,200 meter persegi dan akan menempatkan pejabat pengurusan tertinggi JDT, Pejabat PBNJ serta pejabat Southern Tigers Sdn Bhd (STSB).
Bangunan ini akan melengkapi pembangunan Stadium Sultan Ibrahim yang dijangka siap pada Disember ini.
Sementara itu, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards yang ditemui media kemudiannya berkata ketika ini, kerja-kerja pembinaan struktur utama stadium itu sudah pun selesai dan hanya menunggu untuk dilengkapi dengan kemudahan seperti kedai menjual barangan JDT serta makanan dan minuman.
"Penyiapan stadium ini mengikut jadual dan kami yakin dengan pelaburan yang besar ini, ia akan menghasilkan pendapatan yang baik dan menjadikan JDT kelab yang berdikari dalam masa terdekat," katanya.
Dalam pada itu, Hamidin berkata JDT telah membuat penanda arasnya tersendiri dengan pembukaan ibu pejabat bertaraf antarabangsa itu.
"Saya berharap semua kelab di Malaysia turut akan mengikuti jejak ini (memiliki bangunan sendiri) pada masa akan datang, walaupun tidaklah sebesar yang ini (pejabat JDT)," katanya. - BERNAMA

Ulasan