DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja pada hari ini telah merasmikan Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang baharu.
Bangunan pejabat tersebut terletak bersebelahan Stadium Sultan Ibrahim yang turut sedang rancak didalam pembinaan di atas tanah seluas 2200 meter persegi yang terletak di Iskandar Puteri.
Turut hadir menyaksikan acara bersejarah buat juara enam kali berturut-turut Liga Super itu ialah Menteri Besar Johor YAB Dato’ Dr Sahruddin Jamal, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Dato’ Haji Azmi Rohani, Presiden PBNJ, Dato’ Haji Ismail Karim, dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin.
Menurut kemaskini melalui laman JOHOR Southern Tigers, Ibu Pejabat empat tingkat itu akan menempatka pejabat pengurusan tertinggi JDT, Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan juga kakitangan Southern Tigers Sdn Bhd.
Aras bawah merupakan lobi untuk pelawat, yang turut memiliki skrin mega LED – yang akan menyiarkan detik-detik istimewa JDT kepada setiap tetamu, atau pengujung premis.
Aras tersebut turut akan memiliki bilik seminar, manakala pelbagai jabatan akan ditempatkan di tingkat satu dan dua.
Aras paling atas pula akan menempatkan pejabat DYAM Tunku Mahkota Ismail – selaku pemilik kelab.
Kesemua pejabat di Ibu Pejabat JDT ini mempunyai pemandangan yang menarik iaitu menghadap Stadium Sultan Ibrahim yang bakal siap tidak lama lagi.
Daripada kami warga kerja Semuanya BOLA kepada semua pihak di JDT, tahniah kami ucapkan atas perasmian ibu pejabat yang baharu ini.
Ulasan
Catat Ulasan