PENYERANG Johor Darul Ta'zim (JDT), Syafiq Ahmad melakukan rembatan untuk gol kedua pasukan Harimau Selatan. - Facebook JST
KUALA LUMPUR 13 Sept. - Dua pemain Harimau Malaya, Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar kemenangan 3-2 ke atas Petaling Jaya (PJ) City di Stadium Petaling Jaya, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan JDT muncul juara Kumpulan B sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir walaupun aksi peringkat tersebut masih berbaki satu perlawanan.
Dalam aksi tersebut, JDT terlebih dahulu dikejutkan gol awal menerusi jaringan pemain tengah dari Korea Selatan, Bae Beom-geun yang melakukan rembatan kencang dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol pelawat, Farizal Marlias seawal minit ke-10.
Bagaimanapun, pemain sayap JDT, Safawi berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan bola mati dari sebelah kiri gol tuan rumah pada minit ke-24.
Skuad Harimau Selatan terus menggandakan jaringan, kali ini giliran penyerang negara, Syafiq yang merembat kencang bola dalam kotak penalti pada minit ke-36 untuk meletakkan pasukannya mendahului 2-1 sehingga berakhir babak pertama.
Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan hasil tandukan Washington Brandao selepas menerima hantaran lintang Beom-geun pada minit ke-58.
Namun, gol penyamaan itu tidak bertahan lama apabila Syafiq sekali lagi meletakkan JDT di depan dua minit kemudian selepas tandukannya berjaya menggegar jaring sekali gus mengesahkan kemenangan buat Harimau Selatan. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan