KETUA Jurulatih Terengganu FC II, Tengku Hazman Raja Hassan. NSTP/Rozainah Zakaria
JOHOR BAHRU: Pengendali Terengganu FC II (TFC II), Tengku Hazman Raja Hassan menyerahkan segala keputusan mengenai statusnya selaku jurulatih kepada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).
Beliau ditanya mengenai kedudukannya sebagai jurulatih selepas misi mempertahankan kejuaraan Piala Cabaran berakhir apabila tewas 2-4 secara agregat kepada Johor Darul Ta'zim II pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam tadi.
"Apa jua keputusan biar pihak pengurusan tertinggi yang tentukan dan semua bergantung kepada perancangan mereka," katanya.
Mengulas mengenai persembahan skuad bimbingannya dalam perlawanan menentang JDT II, Tengku Hazman tetap berpuas hati dengan kesungguhan setiap pemain yang cuba memburu kemenangan tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.
"Memang sudah dijangka ia pertembungan sengit apabila berdepan JDT II tapi saya tetap berpuas hati kerana rata-rata pemain TFC II adalah pemain muda dan kurang berpengalaman untuk beraksi pada perlawanan berintensiti tinggi.
"JDT II adalah pasukan serba lengkap namun kami tetap beri saingan sengit sehingga minit akhir perlawanan dan beberapa percubaan berbahaya yang hampir menghasilkan gol tetapi bola tidak masuk ke gawang lawan.
"Kami akui sebagai pasukan `feeder' kepada Terengganu FC, kami perlu lepaskan enam pemain untuk mereka beraksi dengan pasukan utama namun itu bukan alasan kerana beberapa pemain Piala Presiden yang diserapkan dalam skuad TFC II menunjukkan persembahan baik," katanya.
Dalam perlawanan itu, TFC II tampil dengan corak permainan menyerang sebaik perlawanan bermula namun gagal untuk mencipta kemenangan di gelanggang lawan sebaliknya tewas 1-2 kepada JDT II yang mara ke final dengan agregat 4-2.
Hanya gol tunggal Dechi Marcel yang mampu dijaringkan pada hujung babak kedua namun gol itu belum cukup untuk mengubah nasib TFC II dan terpaksa akur apabila JDT II melucut status juara bertahan dimiliki skuad Penyu.
"Kita lupakan kekalahan itu dan perlu meningkatkan kualiti pemain muda yang ada di Terengganu dan saya percaya mereka pemain berbakat dan mampu menaikkan nama TFC II pada musim depan," kata Tengku Hazman.
Ulasan
Catat Ulasan