KUALA LUMPUR: Selepas hampir tiga minggu berehat, saingan Piala Malaysia akan bersambung semula dengan lapan pasukan dalam Kumpulan A dan B akan berentap, malam ini.
Lapan lagi pasukan yang berada dalam Kumpulan C dan D pula akan berentap, esok bagi aksi kelima yang mana ia mungkin bakal memberi bayangan pasukan mana yang akan lolos ke pusingan suku akhir.
Tujuh lagi slot suku akhir menjadi rebutan selepas Pahang menjadi pasukan terawal mengesahkan tempat ke pusingan itu apabila merekodkan kemenangan bersih dalam empat perlawanan dalam Kumpulan C dan mengumpul 12 mata.
Pemerhati Liga Malaysia (Liga M) yang juga bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh menjangkakan Terengganu FC (TFC), Kedah, Johor Darul Ta'zim (JDT), Petaling Jaya City (PJ City), Perak, Melaka United (MU) dan Selangor akan menjadi pasukan yang akan mengiringi Pahang.
TFC dan JDT dijangka akan mendapat tiket ke suku akhir lebih awal berbanding pasukan lain dengan syarat mereka meraih kemenangan ke atas lawan masing-masing, malam ini.
TFC yang mendahului Kumpulan A dengan mengumpul sembilan mata akan berdepan Kedah di Kuala Terengganu, manakala JDT pula berkunjung ke Petaling Jaya untuk berdepan PJ City dalam Kumpulan B.
Berikut adalah tujuh pasukan pilihan Shebby yang akan mengikut jejak langkah Pahang ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.
Kumpulan A
TFC dan Kedah dijangka akan menjadi wakil Kumpulan A yang akan meneruskan saingan di suku akhir. Ia berdasarkan konsisten yang dipamerkan kedua-dua pasukan ini.
Kekalahan pertama peringkat kumpulan yang dialami Terengganu kepada Negeri Sembilan sebelum ini tidak akan menjejaskan rentak mereka untuk berdepan Kedah, malam ini.
Kedah pula kita boleh katakan sebagai 'pakar' dalam saingan membabitkan piala. Ia kerana kita kerap kali tengok dalam final Piala Malaysia dan Piala FA, mesti ada Kedah.
PKNS pula, sekali sekala mereka boleh buat kejutan, tapi untuk mencipta kemenangan berturut-turut tampak susah. Itu yang saya katakan mengenai konsisten.
Bagi saingan peringkat kumpulan, kita perlukan konsisten dan apa yang saya lihat TFC dan Kedah sedikit konsisten berbanding pasukan lain dalam kumpulan ini.
Kumpulan B
Bagi kumpulan ini, saya rasa JDT dan PJ City jelas akan mara ke pusingan seterusnya berdasarkan jurang perbezaan mata yang mereka miliki berbanding PKNP FC dan UiTM FC.
Kita juga tahu mengenai status atau kualiti tinggi yang dimiliki JDT selaku juara Liga Super enam kali berturut-turut.
PJ City pula mempamerkan persembahan konsisten selepas menang tiga kali dan hanya tewas sekali iaitu kepada JDT sepanjang saingan peringkat kumpulan.
Kumpulan C
Saya fikir Perak akan menjadi pasukan kedua dalam kumpulan ini selepas Pahang mengesahkan tempat di suku akhir.
Walaupun Pulau Pinang turut mengumpul lima mata bersama Perak, tapi mereka mungkin sukar kerana perlu berdepan Pahang dalam baki perlawanan selepas ini.
Namun, Perak perlu memastikan kemenangan ke atas Pahang, esok jika tidak mahu berdepan tugas sukar selain mengharapkan Sabah mengecewakan Pulau Pinang di Likas.
Harus diingat, Sabah yang belum mengutip sebarang mata juga akan bermain mati-matian kerana peluang mereka akan kembali terbuka jika berjaya tundukkan Pulau Pinang dan Pahang menewaskan Perak.
Kumpulan D
Peluang masih terbuka buat semua pasukan dalam kumpulan, tapi saya melihat Melaka United dan Selangor akan mendapat tiket ke suku akhir.
Melaka United mempunyai pengalaman yang mencukupi dari aspek pemain untuk melepasi saingan peringkat kumpulan. Walaupun Selangor dianggap berada dalam situasi kurang memuaskan, tapi saya percaya mereka akan bangkit.
Jika melihat kepada sejarah, Selangor memang kuat dengan rekod juara 33 kali Piala Malaysia dan dengan sejarah itu meletakkan mereka sebagai pasukan tumpuan kepada pasukan lain.
Ia kerana pasukan lain akan beraksi lebih daripada biasa untuk menewaskan Selangor. Itu yang dikatakan kadang-kadang sejarah cemerlang menjadi bebanan buat pasukan seperti Selangor kerana harapan yang tinggi diletakkan ke atas bahu mereka.
Ulasan
Catat Ulasan