Zaki gembira, Nafuzi terkilan

KETUA Jurulatih Terengganu FC, Mohd Nafuzi Mohammad Zain.
SEREMBAN: "Memang dua gol pantas yang dijaringkan pemain Negeri Sembilan (NS) itu sedikit mengejutkan kita, mungkin ketika itu pemain saya sedikit tidur," kata pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain.
Beliau mengulas mengenai kekalahan TFC, 2-3 kepada NS dalam saingan Kumpulan A Piala Malaysia, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam semalam, yang juga kekalahan pertama pasukan itu musim ini.
Katanya, pemain TFC mempamerkan persembahan serupa seperti mana dilakukan dalam perlawanan sebelum ini, namun beliau akui angkara kesilapan dan kelekaan mereka, pasukannya dihukum lawan.
"Aksi sebelum ini dan dilakukan malam ini (semalam), tiada yang berubah dan mungkin rezeki tidak memihak kepada kita, namun tidak dinafikan pemain ada melakukan kesilapan dan sedikit leka.
"Apapun ia suatu peringatan buat pemain kerana bukan senang untuk dapatkan kemenangan walaupun menentang pasukan dari Liga Perdana. Bila beraksi di tempat lawan, ia tugas yang sukar.
"Tahniah kepada Negeri Sembilan yang bermain baik dan mencipta banyak peluang gol. Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan persembahan pemain saya malam ini," katanya kepada media, selepas perlawanan.
Dalam aksi itu, NS menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit pada awal permainan menerusi Mohd Ferris Danial Nasir (minit kedua) dan Almir Neto (minit kelima), sebelum menambah gol ketiga dijaringkan Igor Luiz, minit ke-65.
Mengulas lanjut, Nafuzi berkata, beliau yakin skuad Penyu mampu layak ke suku akhir kerana hanya memerlukan satu kemenangan lagi daripada baki dua perlawanan, untuk mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati itu.
"Memang peluang TFC untuk layak ke suku akhir cerah, namun terpulang kepada pemain untuk ambil peluang itu atau sebaliknya," katanya.
Bagi pengendali NS pula, Zaki Sheikh Ahmad, jelas gembira dengan kemenangan itu yang boleh menghidupkan peluang buat skuad Hobin Jang Hobin untuk terus bersaing selepas tewas dalam tiga aksi sebelum ini.
"Syukur, akhirnya kita dapat kemenangan. Sepatutnya keputusan ini sudah lama boleh diterjemahkan kerana ia serupa apa yang kita rancang dan praktikan.
"Berbanding aksi sebelum ini pemain gagal jaringkan gol walaupun berjaya cipta peluang dan malam ini mereka terjemahkannya dengan baik dan itulah yang membezakan aksi malam ini dengan perlawanan terdahulu," katanya.
Selepas empat perlawanan, NS masih kekal di tangga tercorot Kumpulan A dengan kutipan tiga mata manakala TFC menerajui dengan sembilan mata diekori Kedah (tujuh mata) dan PKNS FC (empat mata).

Ulasan