Pengendali UiTM FC, Ismail Zakaria. - NSTP/Ramdzan Masiam
KUALA LUMPUR: Sekali pun menang pada aksi pertama Kumpulan B Piala Malaysia, ia bukan jaminan buat PJ City untuk sekali lagi mengatasi UiTM FC pada perhitungan kedua di Stadium UiTM Shah Alam, esok.
Skuad dengan julukan The Lion Troops yang bakal beraksi di laman sendiri pastinya tidak rela terus dijadikan lubuk mata buat PJ City dan keputusan pada aksi pertama sudah membuktikan mereka cukup liat untuk ditewaskan.
Malah keputusan pengendali UiTM FC, Ismail Zakaria yang tidak meletakkan sebarang harapan tinggi dalam saingan Piala Malaysia musim ini mungkin jadi perangkap buat lawan mereka jika bersikap terlalu memandang rendah.
"Cukup terasa apabila kami kehilangan pemain import. Mungkin bukan rezeki saya untuk tahun ini dan kita boleh cuba lagi untuk tahun depan.
"Untuk Piala Malaysia kali ini, tidak ada sasaran besar yang diletakkan cuma kami mahu berikan saingan dan cuba 'curi' mata. Itu yang saya harapkan daripada mereka (pemain)," katanya.
Pengendali Pj City, K Devan pastinya mahu terus mengekalkan kemenangan untuk mengukuhkan kedudukan bagi mengiringi Johor Darul Ta'zim (JDT) ke peringkat suku akhir.
Sekali pun peluang seakan tertutup rapat buat UiTM FC, Ismail merasakan ia bakal jadi kelebihan buatnya untuk menilai pemain bagi menyiapkan pasukan lebih baik musim depan.
"UiTM tahun ini, saya mula nampak untuk tahun depan. Saya boleh lihat siapa yang ada kebolehan yang patut disambung (kontrak). Itulah perancangan saya," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan