UiTM FC perit Calijuri, Yongjun cedera


KEHILANGAN dua tonggak penyerang import amat dirasai pasukan UiTM FC bagi menempuh baki kempen Piala Malaysia 2019.
Park Yongjun dan Maycon Calijuri kini terpaksa disisihkan akibat kecederaan sekali gus merencat perancangan ketua jurulatih, Ismail Zakaria.
Menurut beliau, kedua-dua import The Lion Troops itu dipercayai mengalami kecederaan berulang menyebabkan khidmat mereka tidak dapat digunakan untuk beberapa bulan.


"Mereka ini kita ambil pertengahan musim dan percaya sudah mengalami kecederaan lama dan tidak mampu bertahan dalam saingan liga.
"Tidak banyak perubahan boleh dibuat dan saya juga menurunkan tiga hingga empat pemain piala presiden bagi menguatkan pasukan semalam)," katanya dihubungi Arena Metro.
Biarpun memiliki beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol, penyudah tumpul menyaksikan UiTM FC terpaksa akur kalah 0-2 kepada PKNP FC di gelanggang sendiri.
Ia kekalahan kedua direkodkan selepas tunduk kepada Johor Darul Ta'zim dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan.
Ismail berkata, tumpuan kini untuk mencipta kemenangan pertama ke atas PJ City dan ia penting bagi memberi semangat kepada anak buahnya.
"Keseluruhannya saya tetap berbangga dengan persembahan pemain saya yang meningkat biarpun baru beraksi dalam Liga Perdana dan kini Piala Malaysia.
"Sebab itu saya tidak tetapkan sasaran besar dan realistik dengan kemampuan mereka.
Aksi Piala Malaysia ini cukup baik untuk beri pendedahan pemain saya pengalaman melawan pasukan yang kuat.
"Ia ibarat 'pemilihan' bagi pemain UiTM yang berpotensi untuk diketengahkan pada musim depan," katanya.

Ulasan