TMJ Mahu Stadium Sultan Ibrahim No.1 Asia Tenggara


Stadium Sultan Ibrahim yang sedang dalam pembinaan bakal menjadi stadium terbaik di Asia Tenggara. Demikianlah tekad DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga merupakan pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Titah baginda disiarkan oleh Berita Harian pada hari ini. Menurut perkongsian oleh TMJ kepada akhbar nasional itu, ibu pejabat kelab yang terletak di venue sama dengan Stadium Sultan Ibrahim akan siap dan bakal dirasmikan pada 4 September hadapan.

Manakala stadium yang akan menjadi rumah baharu skuad Harimau Selatan dijangka akan siap sepenuhnya pada awal tahun hadapan.

“Ia amat positif buat JDT dan sejujur-jujurnya saya tidak sabar dengan perkembangan ini. Harapan saya nak stadium ini jadi yang terbaik di Asia Tenggara.
“Juga ada organisasi yang dikenali dan diiktiraf oleh AFC [Konfederasi Bolasepak Asia] dan FIFA [Persekutuan Bolasepak Antarabangsa],” titah baginda selepas aksi persahabatan antara Pilihan TMJ dan Team Media FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.
Stadium Sultan Ibrahim adalah projek hasil daripada visi baginda dan bakal memuatkan 40,000 sehingga 45,000 tempat duduk selepas siap nanti. Stadium tersebut terletak di kawasan Iskandar Puteri.


Dalam perkembangan berkaitan, Tunku Ismail turut berkongsi beberapa perancangan masa hadapan untuk menjana pendapatan buat kelab.
Antaranya ialah penghasilan padang bola sepak yang boleh disewa oleh orang awam.
“Saya rasa setiap kelab ada perancangan untuk dapatkan hasil dan JDT juga ada cara sendiri. Tetapi saya harap kita dapat sama-sama majukan bola sepak Malaysia,” katanya.
Baginda juga menasihatkan kelab atau persatuan bola sepak di Liga Malaysia yang ingin menaiktaraf kemudahan padang dan fasiliti agar berbuat demikian mengikut kemampuan masing-masing.
“Orang kata sebelum pakai ukur badan dulu. Tidak perlu membazir dan buatlah secara berperingkat ikut kemampuan. Kita terbuka kepada mana-mana pasukan yang ingin datang ke sini dan lihat lihat dengan mata mereka macam mana kita uruskan segala-galanya,” ujar baginda.

Projek pembinaan Stadium Sultan Ibrahim bermula sejak dua tahun yang lalu, dan merupakan salah satu kejayaan besar dalam sejarah bola sepak JDT apabila tampil sebagai kelab pertama di negara ini yang memiliki stadium sendiri.

Ulasan