TMJ mahu jadikan Stadium Sultan Ibrahim terbaik di Asia Tenggara

Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
JOHOR BAHRU: Tunku Ismail Sultan Ibrahim terus bercita-cita tinggi dan mahu Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi contoh kepada pasukan lain serta Stadium Sultan Ibrahim, Larkin sebagai stadium terbaik di Asia Tenggara.
Sebagai permulaan, ibu pejabat JDT yang terletak di venue stadium baharu berkenaan akan dirasmikan 4 September ini namun stadium berkenaan dijangka siap sepenuhnya awal tahun depan.
"Ia amat positif buat JDT dan sejujur-jujurnya saya tidak sabar dengan perkembangan ini. Harapan saya nak stadium ini jadi yang terbaik di Asia Tenggara.
"Juga ada organisasi yang dikenali dan diiktiraf oleh AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) dan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa)," katanya ketika ditemui selepas aksi persahabatan antara Pilihan TMJ dan Team Media FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.
Stadium baharu Harimau Selatan itu terletak di Iskandar Puteri dengan kapasiti tempat duduk 40,000 hingga 45,000.
Dalam masa sama, Tunku Ismail berkata pihaknya juga mempunyai beberapa perancangan untuk menjana pendapatan buat kelab.
"Antaranya kita buat padang yang boleh disewa oleh orang ramai. Saya rasa setiap kelab ada perancangan untuk dapatkan hasil dan JDT juga ada cara sendiri. Tetapi saya harap kita dapat sama-sama majukan bola sepak Malaysia," katanya.
Mengulas transformasi yang dilakukan kepada JDT, Tunku Ismail berkata perkara pertama yang dilakukan adalah mengekalkan kualiti padang yang baik dan daripada itu baharu boleh diteruskan dengan langkah kedua.
"Pada mulanya saya belanja RM300,000 untuk kekalkan kualiti padang dan daripada situ baharu ada langkah kedua seperti tukar bilik persalinan dan gimnasium. Tidak perlu buat mahal-mahal dan buatlah ikut kelab masing-masing.
"Orang kata sebelum pakai ukur badan dulu. Tidak perlu membazir dan buatlah secara berperingkat ikut kemampuan. Kita terbuka kepada mana--mana pasukan yang ingin datang ke sini dan lihat lihat dengan mata mereka macam mana kita uruskan segala-galanya," katanya.

Ulasan