“KEKALAHAN itu memeritkan dan tamparan besar dalam misi melangkah ke suku akhir lebih awal terutama selepas kami menguasai permainan,” demikian reaksi pertahanan Terengganu FC (TFC), Muhammad Mohd Faudzi susulan kekalahan mengejut skuad itu kepada Negeri Sembilan dalam aksi keempat peringkat Kumpulan A saingan Piala Malaysia Jumaat lalu.
Sebaliknya pemain yang pernah berguru selama tiga bulan di Liga Perdana Queensland, Australia ketika bersama Harimau Muda A pada usia 18 tahun mengakui kem skuad Penyu itu bagaikan satu keluarga harmoni dan tiada konflik dalaman wujud dalam pasukan.
“Mungkin sedikit kelekaan kami pada awal permainan memberi padah selepas tumpas 2-3 kepada skuad Liga Perdana itu,” ujar pemain berusia 23 tahun itu yang lebih mesra dipanggil Mad.
Pada aksi itu, skuad kendalian pemangku ketua jurulatih, Nafuzi Zain dibolosi dua gol seawal lima minit pertama hasil jaringan bekas penyerang TFC, Mohd Ferris Danial Nasir pada minit kedua manakala Almir Neto meledak gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit kelima.
Mengulas lanjut, bekas pertahanan Terengganu FC II (TFC II) yang dinaikkan 'pangkat’ musim ini menyatakan dia dan rakan sepasukan bertekad bangkit memburu kemenangan menentang Kedah pada 13 September depan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
“Dengan tempoh rehat tiga minggu ini, kami akan manfaatkan sebaik mungkin kerana kami mahu selesaikan misi lebih awal selain tidak mahu menunggu aksi terakhir bertemu PKNS pada 17 September bagi menempah slot ke suku akhir saingan Piala Malaysia.”
Pada aksi pusingan pertama bertemu skuad Helang Merah, naib juara Piala Malaysia musim lalu itu yang beraksi sepuluh pemain sepanjang babak kedua susulan penjaga gol, Muhammad Ilham Amirullah Razali dilayangkan kad merah berjaya menumpaskan skuad itu 2-0 hasil jaringan penyerang sensasinya, Kipre Tchetche.
Ulasan
Catat Ulasan