KUALA TERENGGANU: Kurang lapan jam sebelum sepak mula pertemuan Terengganu FC (TFC) dengan Negeri Sembilan dalam saingan Piala Malaysia malam ini, kem TFC dikejutkan dengan kematian penjaga gol utamanya, Mohd Suffian Abd Rahman, 41, akibat serangan jantung kira-kira jam 1 tengah hari tadi.
Pengurus pasukan TFC, Ahmad Shahrizal Yahya berkata, bekas penjaga gol kebangsaan itu menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Bukit Tunggal, dekat sini.
"Saya begitu terkejut mendengar berita itu, saya dimaklumkan kematian arwah disebabkan masalah jantung dan arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Tunggal selepas solat Asar petang ini.
"Saya mengharapkan peminat setia skuad TFC dan seluruh peminat bola sepak tanah air mendoakan agar arwah Suffian ditempatkan dalam kalangan insan yang beriman," katanya.
Pada 1 Ogos lalu, penjaga gol berpengalaman itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini kerana mengalami masalah jantung.
Bagaimanapun, selepas beberapa hari berada di HSNZ, penjaga gol itu berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang untuk membuat rawatan susulan.
Musim lalu, Suffian muncul antara watak penting kejayaan skuad Penyu muncul naib juara Piala Malaysia dan menduduki tangga keempat Liga Super.
Pemain paling senior Liga Malaysia (Liga M) itu yang menyarung jersi skuad TFC bermula pertengahan 2017 juga beraksi dengan cemerlang dalam saingan Liga Super musim ini.
Ulasan
Catat Ulasan