Langkau ke kandungan utama

‘Suffian idola saya’

JENAZAH Mohd. Suffian Abd Rahman dimasukkan ke dalam van jenazah
JENAZAH Mohd. Suffian Abd Rahman dimasukkan ke dalam van jenazah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banggol Pauh hari ini. - BERNAMA
KUALA NERUS 17 Ogos - “Dia bukan sahaja rakan tetapi idola saya,” kata penjaga gol Terengganu FC (TFC), Muhamad Ilham Amirullah Razali mengenai Mohd. Suffian Ab Rahman, 41, yang meninggal dunia akibat sakit jantung hari ini.
Muhamad Ilham berkata, rakan sepasukannya yang sama-sama beraksi sebagai penjaga gawang skuad Penyu itu banyak memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada penjaga gol muda sepertinya.
“Banyak yang saya belajar dari dia. Kehilangannya pasti amat dirasai terutama kepada kami yang beraksi sebagai satu pasukan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Muhamad Ilham, 25, berkata kehilangan Allahyarham Mohd Sufian amat mengejutkan kerana sebelum ini Allahyarham tidak pernah menunjukkan kesakitannya.
“Kali terakhir saya jumpa Allahyarham bulan lepas semasa berlatih. Pada waktu itu tiba-tiba Allahyarham masuk ke bilik persalinan sebab tidak sihat. Lepas itu saya dengar Allahyarham masuk hospital,” katanya.
Sementara itu, pemain tengah TFC, Ahmad Syamim Yahya berkata beliau agak terkejut selepas menerima berita berkenaan yang disampaikan oleh kapten pasukan, Lee Tuck dalam kumpulan Whatsapp petang ini.
Beliau berkata, Allahyarham mempunyai perwatakan sangat baik iaitu mudah didekati, mesra dan sering memberi motivasi kepada rakan sepasukan yang lebih muda, sesuai dengan kedudukannya sebagai pemain paling senior dalam pasukan.
“Saya menerima berita itu ketika makan tengah hari tadi dan selepas itu terus bergegas ke rumah bapa mertuanya di Kampung Banggol Pauh, di sini untuk ziarah.
“Saya memang bercadang untuk melawat arwah selepas dia dimasukkan ke wad di Hospital Sultanah Nur Zahirah tetapi banyak kali tertangguh disebabkan kesibukan tugas,” katanya.
Ahmad Syamim berkata, sebelum menyertai TFC, beliau pernah bermain bersama arwah dalam pasukan Felda United pada 2016.
Sementara itu, Mohd. Sulaiman, 61, yang juga bapa mentua Allahyarham berkata, Mohd Suffian meninggal dunia secara tiba-tiba ketika berehat di atas katil sementara menunggu makan tengah hari.
Beliau berkata ketika mula-mula sampai di rumahnya, keadaan Allahyarham kelihatan agak lemah kerana belum pulih sepenuhnya daripada terkena serangan jantung pada akhir bulan lepas.
“Dia datang bersama isterinya, Nurmunirah, 33, ke rumah kira-kira 12.30 tengah hari tadi dan sementara menunggu makanan siap dia berehat dahulu di atas katil.
“Bagaimanapun selesai mengambil wuduk saya terdengar bunyi riuh rendah dari dalam rumah dan apabila diperiksa saya mendapati Suffian sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Banggol Pauh, di sini petang ini.
Terdahulu jenazah Allahyarham Mohd. Suffian, yang menghembuskan nafas terakhir pukul 1.10 petang ini selamat dikebumikan pada 6.50 petang ini dengan dihadiri kira-kira 200 ahli keluarga dan kenalan termasuk rakan sepasukannya.
Pada 1 Ogos lepas, penjaga gol berpengalaman itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu kerana masalah jantung.
Bagaimanapun selepas beberapa hari berada di hospital, penjaga gol itu stabil dan dibenarkan pulang untuk membuat rawatan susulan. - BERNAMA

Ulasan