Siapa mampu halang trio serangan JDT?
Empat perlawanan, 14 gol. Secara purata, 3.5 gol dijaringkan dalam satu perlawanan. Satu statistik yang cukup menakjubkan daripada juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta’azim dalam kancah Piala Malaysia.
Selain daripada JDT, hanya Terengganu FC yang mungkin boleh dikatakan menghampiri mereka dengan catatan 10 gol.
Namun begitu, apa yang sebenarnya menakutkan mengenai JDT, terutamanya kepada barisan pertahanan lawan adalah tiga pemain serangan mereka, Diogo, Safawi Rasid dan Gonzalo Cabrera telah menjaringkan 13 daripada 14 gol dalam empat perlawanan tersebut. Satu lagi gol JDT dijaringkan oleh pemain pertahanan, Mauricio Dos Santos Nascimento dalam perlawanan bertemu PKNP yang lalu.
Diogo berkongsi tangga teratas penjaring terbanyak Piala Malaysia bersama penyerang Terengganu FC, Kipre Tchetche dengan lima gol. Safawi dan Cabrera pula menjaringkan empat gol bersama penyerang Felda United, Khairul Amri.
Apa yang menakutkan mengenai trio serangan JDT ini adalah mereka mempunyai persefahaman yang cukup menakjubkan, membuatkan mereka sukar dikawal oleh pertahanan lawan. Berbeza dengan penyerang lain, trio ini mampu bertukar posisi dan tahu pergerakan rakan sepasukan mereka. Ini boleh dilihat menerusi dua gol yang dijaringkan JDT dalam perlawanan bertemu PKNP yang lalu.
Jaringan kedua Harimau Selatan menunjukkan bagaimana dua pemain yang sudah tahu corak permainan masing-masing. Diogo yang diasak pemain lawan membuat satu ‘back heel’ bagaikan sudah mengetahui Cabrera akan berlari ke arah itu, dan Cabrera terus membuat larian bagaikan sudah mengagak tindakan Diogo, seterusnya menjaringkan gol.
Begitu juga dengan jaringan keempat JDT daripada Safawi Rasid. Sekali lagi Diogo menjadi kunci kepada serangan. Dengan hanya satu sentuhan, dia menghantar bola untuk memecah benteng pertahanan PKNP, ke arah Safawi yang sudah membuat larian awal, seterusnya menambah jaringan JDT.
Apa yang dilakukan oleh tiga pemain ini adalah hasil kerja keras mereka di atas padang latihan. Beraksi bersama hampir setiap hari menimbulkan persefahaman yang cukup mantap sehinggakan mereka mampu beraksi bersama dengan cukup baik.
Melihat apa yang dilakukan oleh trio serangan JDT ini, sukar untuk mana-mana barisan pertahanan lawan untuk menghalang mereka daripada menjaringkan gol. Jika Safawi, Diogo dan Cabrera mampu meneruskan rentak cemerlang, Harimau Selatan nampak berada di tahap terbaik untuk menambah koleksi pingat mereka pada musim ini.
Kredit foto: Johor Southern Tigers
Ulasan
Catat Ulasan