KUALA LUMPUR - Kejayaan muncul juara Liga Super buat musim keenam berturut-turut belum cukup memuaskan hati Johor Darul Ta'zim (JDT).
Beberapa jam menjelang pertemuan menentang kelab Liga Perdana, UiTM FC di Larkin, malam ini, bintang Harimau Selatan, Safawi Rasid melaungkan hasrat untuk mendakap Piala Malaysia 2019.
"Walaupun kami telah menjadi juara Liga Super untuk musim ini, namun sasaran saya untuk Piala Malaysia adalah untuk membawa piala tersebut pulang ke Larkin.
"Saya percaya kepada pasukan dan barisan staf di JDT, kami akan cuba mendapatkan momentum kemenangan dari perlawanan pertama hingga perlawanan terakhir.
"Buat masa ini pasukan berada dalam keadaan terbaik, kami telah mengharungi musim ini sebagai satu pasukan, jatuh bangun bersama-sama. Kami juga telah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mengharungi perlawanan ini," kata Safawi yang dipetik dalam Facebook JOHOR Southern Tigers hari ini.
Menurut Safawi lagi, setiap perlawanan ibarat final dan mereka tidak akan mengambil mudah, termasuk menentang UiTM FC.
"Saya sering mengingatkan diri bahawa bola itu bulat, apa sahaja boleh terjadi kerana pengakhirannya adalah menang atau kalah sahaja. Oleh itu kami perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi cabaran tidak kira siapa jua pasukan lawan," katanya lagi.
Pemain kebangsaan itu turut menyifatkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai individu yang memastikan JDT mampu meraih banyai trofi kerana sumbangan yang telah diberikan sama ada di dalam mahu pun di luar padang. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan