Reaksi penyerang JDT, Diogo Luis Santo (depan) meraikan gol ketika menentang PKNP, malam tadi. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
JOHOR BAHRU: Penolong jurulatih PKNP FC, Chan Wing Hoong mengakui corak permainan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang lebih mantap menyebabkan pasukannya dibelasah 0-5 pada aksi Kumpulan B saingan Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, malam tadi.
Wing Hoong berkata, skuad kendalian Benjamin Mora sukar diatasi apabila memperagakan corak permainan menyerang dan sentiasai memberi tekanan kepada benteng pertahanan pasukannya yang jelas tidak dapat bertahan dengan asakan bertubi-tubi itu.
"Malam ini (malam tadi) JDT menunjukkan kegarangan sebenar sebagai pasukan bergelar juara Liga Super. Jauh beza ketika aksi di Manjung 16 Ogos lalu apabila kami berjaya mengikat mereka dengan jaringan 2-2. Saya sendiri tergamam dengan persembahan lesu pemain saya.
"Kami juga memberi terlalu banyak ruang kepada pemain JDT bergerak bebas dan mereka ambil kesempatan itu dengan permainan yang tersusun menerusi umpanan pendek dan posisi tengah jelas dikuasai pemain JDT, kami langsung tidak dapat memberi tekanan terhadap benteng JDT.
"Apa yang berlaku sehingga kami dibelasah 5-0 apabila terlalu mudah membiarkan JDT menjaringkan gol akibat kelekaan benteng pertahanan yang langsung tidak menekan barisan serangan lawan malah dua gol penalti JDT menjadi punca kami gagal bangkit," katanya.
Wing Hoong juga kecewa dengan kelibat barisan pemain import yang tidak memberi sumbangan maksimum dalam perlawanan itu malah beliau menyifatkan mereka harus tunjuk kredibiliti sebagai pemain import dan bukan sekadar pelengkap kesebelesan utama.
Beliau juga mengakui pemain tempatan gagal menyerlah dalam perlawanan itu apabila `hanyut' dengan corak permainan pantas JDT yang menguasai keseluruhan permainan.
Apapun beliau terima kekalahan besar itu dengan hati terbuka dan optimis akan bangkit pada baki dua perlawanan untuk mengintai peluang ke suku akhir walaupun dianggap tipis.
"Baki dua perlawanan menentang UiTM FC dan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) kami tidak boleh seri atau kalah. Kami kena bangkit dan beri persembahan terbaik pada dua aksi itu dan tempoh rehat yang agak lama akan digunakan untuk perbaiki kelemahan," kata Wing Hoong.
Ulasan
Catat Ulasan