Langkau ke kandungan utama

Penyu resah hilang 6 tonggak

KETIADAAN perancang utama dan ketua pasukan, Lee Tuck pasti dirasai


KETIADAAN perancang utama dan ketua pasukan, Lee Tuck pasti dirasai oleh Terengganu.

KUALA TERENGGANU – Pertemuan menentang PKNS FC dalam aksi pembukaan Kumpulan A, Piala Malaysia esok adalah detik paling mencabar buat Terengganu FC (TFC) apabila turun tanpa enam tonggak, termasuk perancang utama, Lee Tuck.
Ketiadaan ketua pasukan, Tuck yang digantung satu perlawanan kerana menerima kad merah ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi terakhir Liga Super, 19 Julai lalu merencatkan perancangan skuad Penyu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Turut terlepas perlawanan getir itu adalah bintang tengah Kemboja, Thierry Chantha Bin, selain Ahmad Syamim Yahya, Abdul Malik Mat Ariff, Mohd. Ashari Samsudin serta Khairul Anwar Shahrudin.
Biarpun resah me­nerima kunjungan PKNS, namun pemangku Ketua Jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain cuba bersikap positif dengan mengharapkan pengganti mereka mampu menyaingi anak-anak buah Datuk K. Rajago­bal.
“Sudah tentu ketiadaan pemain utama dirasai, terutama Tuck kerana dia adalah tonggak pasukan yang se­ring menjadi perancang.
“Harap pemain yang bakal diturunkan nanti mampu beraksi dengan baik.
“Pasukan kami juga menunjukkan prestasi baik dalam beberapa baki saingan Liga Super, harap momentum itu dapat diteruskan esok,” kata Nafuzi kepada pemberita hari ini.
Terengganu berjaya mengikat JDT 3-3 dalam perlawanan terakhir Liga Super biarpun ­beraksi dengan 10 pemain.
Pasukan Penyu sebelum itu seri 1-1 dengan Pahang pada 12 Julai, selain mengikat juara ­Piala FA, Kedah 2-2 pada 9 Julai.
Terengganu juga menum­paskan PKNS FC 2-1 dalam pertemuan terakhir mereka di Stadium Shah Alam pada 5 Julai lalu dengan kedua-dua jari­ngan disempurnakan oleh Sanjar Shaakhmedov dan Nasrullah Haniff Johan. - UTUSAN ONLINE

Ulasan