Pengalaman matangkan pemain JDT

BENJAMIN Mora.
JOHOR BAHRU: "Kami belajar daripada perlawanan ketika seri 2-2 di Manjung". Itu reaksi pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora selepas pasukan itu membelasah PKNP FC 5-0 pada aksi Kumpulan B saingan Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, semalam.
Mora menegaskan apa yang berlaku ketika aksi di Manjung jauh berbeza dengan corak permainan lebih mantap pada aksi menentang PKNP FC di laman sendiri dan pemain menunjukkan komitmen yang tinggi bagi memastikan tiga mata yang `hilang' ketika di Manjung mampu dirampas semula.
Katanya, pengalaman pahit pada aksi lalu, memberi pengajaran penting buat barisan pemain JDT supaya lebih konsisten dan tidak melakukan kesilapan mudah yang akan memudaratkan pasukan dalam usaha memburu slot ke suku akhir piala berprestij itu.
"Saya turunkan barisan pemain sama pada aksi 16 Ogos lalu dan menentang barisan pemain lawan yang sama. Apa yang membezakan kami dengan pasukan lawan adalah kami belajar pengalaman lalu kerana kami beraksi dengan komitmen 120 peratus sepanjang 95 minit perlawanan.
"Hasilnya apa yang kami inginkan membuahkan kejayaan dan tidak sangka kami boleh menang besar dan ia adalah keinginan setiap pemain yang mahu membuktikan betapa mereka mampu beri persembahan terbaik dalam aksi Piala Malaysia," katanya.
Mora juga berpuas hati dengan corak permainan benteng pertahanan skuad Harimau Selatan yang tampak begitu ampuh tatkala beberapa aksi lalu agak goyah apabila begitu mudah membiarkan pasukan lawan menjaringkan gol.
Katanya, sepanjang mengharungi empat perlawanan, benteng JDT sudah melepaskan lima gol dengan purata dua gol setiap perlawanan dan situasi itu tidak baik untuk JDT kerana tidak berlaku sepanjang aksi Liga Super.
Menurutnya, barisan kejurulatihan JDT memandang serius apa yang berlaku dan segera mencari penyelesaian supaya ia tidak merebak hingga  menjadi virus yang sukar dibendung dan perbincangan bersama barisan pemain pertahanan untuk mengenal pasti punca sebenar tampak positif.
"Pemain sedar tugas yang mereka harus pikul dan enggan lagi gawang dibolosi, mereka beraksi konsisten tanpa sebarang tekanan dan objektif mengelak gawang dibolosi berjaya dicapai," kata Mora.

Ulasan