Langkau ke kandungan utama

Lion Troops tak rela jadi 'lauk' JDT


KUALA LUMPUR - Biarpun turun sebagai ‘underdog’, UiTM FC tidak rela menjadi pasukan belasahan apabila menentang juara Liga Super enam musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi pembukaan Kumpulan B, Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini.
Pengendali Lion Troops, Ismail Zakaria menegaskan, beliau akan mengerah segala kepakaran dan kekuatan yang ada untuk membawa pulang keputusan terbaik.
"Kami pasukan dari Liga ­Perdana, dan apabila berjumpa pasukan terbaik di Malaysia, sudah tentu saya tidak sabar untuk melihat bagaimana pemain saya berusaha untuk menangani asakan JDT.
"Saya tidak menitik beratkan keputusan perlawanan yang dicatatkan (menang atau kalah), sebaliknya saya mahu pemain menimba pe­ngalaman.
“Paling penting adalah mempamer permainan berkua­liti dan tidak menjadi belasahan.
"Jika saya menetapkan pemain perlu membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata sudah tentu mereka tertekan jadi saya tidak mahu melakukannya. Saya akan merangka strategi dan berharap pemain terjemahkannya dalam perlawanan.
"Bagaimanapun, saya tidak mahu kami dibelasah teruk. Kalau kalah biar dengan defisit yang kecil tetapi jika kami berjaya mencatat keputusan seri, satu kejayaan besar buat kami," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dalam perjalanan menuju ke Johor semalam.
Menyedari hakikat UiTM FC sukar untuk mendapatkan mata daripada pertemuan menentang JDT, Ismail tetap optimis mereka mampu memberi sai­ngan kepada dua lagi pencabar.
"Selain JDT, kami akan bertemu PJ City FC dan PKNP FC, saya fikir daripada pasukan ini kami perlu fokus untuk mendapatkan pungutan mata dalam usaha melepasi peringkat kumpulan," katanya.
Bercakap mengenai kece­deraan pemain, bekas jurulatih Sime Darby itu berkata, beliau tidak dapat menurunkan pemain tengah, Nazrin Bahri selepas dia mengalami keretakkan di tulang betis kiri.
"Yang lain semuanya boleh bermain kecuali Nazrin dan dia perlu direhatkan sampai hujung tahun ini," katanya lagi. - UTUSAN

Ulasan