KEUNGGULAN SEBUAH SOKONGAN BUAT HARIMAU SELATAN

KEUNGGULAN SEBUAH SOKONGAN BUAT HARIMAU SELATAN
Hari Jumaat ini adalah satu-satunya perlawanan yang bakal diadakan di stadium kebanggaan kita dalam pusingan kedua Piala Malaysia. Peluang ini harus jangan dipersia, dahaga kemenangan bukan lagi satu rahsia.
Dengan kesedaran tersebut, sudah pastinya keseluruhan barisan jurulatih dan pemain akan berusaha sedaya upaya, mengerah keringat selagi ada daya.
Sekiranya misi itu berjaya direalisasi, maka tiga mata mutlak dikaut dalam konkurensi, sepuluh mata dalam bagasi, kedudukan pertama terjamin atas paksi. Maka kelak, sebelah kaki Harimau Selatan sudah melangkah, ke peringkat seterusnya sasaran akan terarah.
"Sebuah sokongan"
Di sebalik misi tersebut, JDT sebenarnya amat memerlukan sebuah sokongan. Sokongan dari kita sebagai penyokong yang amat diperlukan mengiringi perjuangan.
Tidak kiralah selemah manapun pasukan yang bakal dilayan, ataupun sekuat mana pun reputasi kita dalam keterampilan, ianya hanyalah satu tanggapan, dan bukannya kenyataan yang boleh dimuktamadkan.
Sesungguhnya kekuatan sesebuah pasukan bola sepak itu tiada yang tetap dalam nisbah, segalanya sekelip mata boleh berubah, tiada kekuatan yang sentiasa akan kekal, tidak selamanya kejayaan akan dicapai secara pukal.
Dan kerana itulah penyebab penyokong harus sentiasa bersama, kehadiran kita akan menjadi pemacu semangat paling utama.
"Makna kemenangan"
Apa makna kemenangan jika terpisah dengan sokongan? Apa makna kemaraan jika terlerai segala ikatan?
Benar, JDT dan penyokong bukan seperti keluarga biasa, keluarga ini berpaksi dalam rantai hubungan yang begitu luar biasa. Tidak boleh disangkal, tidak boleh dinafikan. Teruskanlah menyokong, jangan biarkan indikator sokongan itu beralih paparan.
Akhir kalam, kepada keseluruhan barisan kejurulatihan, pemain serta penyokong, bersama-sama kita mengakhiri sisa-sisa kenangan di stadium kebanggaan ini dengan kenangan yang indah.
Jangan akhiri hikayat Larkin dengan jiwa yang gundah. Hadirlah. Sokonglah. Demi Johor. Semangat ini tidak akan luntur.
"Kita tidak menetapkan keunggulan kerana kita adalah keunggulan"
Merah itu darahmu, biru itu nyawamu.
Dayung sudah ditangan, perahu sudah di air. Elok kata dalam muafakat, buruk kata luar muafakat.
Sumber artikel: Media JST

Imej

Ulasan