Kelantan gagal sekat JDT II



KELANTAN gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dalam kempen Kumpulan A Piala Cabaran selepas tewas tipis 0-1 dengan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Pasukan tuan rumah terlebih dahulu hampir menghasilkan gol pendahuluan pada awal minit kesembilan dan m-15 menerusi rembatan deras Nik Azli Nik Alias namun sedikit tersasar.
Bagaimanapun, tuan rumah tersentak seketika apabila pelawat berjaya mencipta jaringan pendahuluan m-32 hasil hantaran lintang Nicolas Fernandez disempurnakan Mohamad Ghaddar dengan tandukan deras tepat ke penjuru kanan gawang menewaskan penjaga gol, Mohammad Fikri Che Soh.


Tersentak dengan jaringan itu, skuad kendalian Yusri Che Lah menggandakan asakan memburu gol penyamaan namun peluang pada m-40 menerusi bola umpanan Azwan Aripin gagal disudahkan Nik Azli apabila bola rembatan leretnya ditangkap kemas penjaga gol, Haziq Nadzli.
Kelantan dilihat lebih garang di awal permainan pada babak kedua hasilnya pada m-56, Nik Akif hampir menyamakan kedudukan berjaya setelah melakukan sepakan leret namun sedikit tersasar.
Skuad The Red Warriors (TRW) juga hampir mendapat jaringan pada m-76 namun rembatan leret hasil larian solo Seydi L'Imam sedikit tersasar walaupun Haziq sudah tertewas. 
TRW bermain dengan 10 pemain setelah Azwan Aripin dilayangkan kad kuning kedua pada m-90 sekaligus diarah keluar padang oleh pengadil perlawanan, Shaharudin Man setelah melakukan kekasaran terhadap pemain JDT II.
TRW melakukan serangan demi serangan namun gagal diterjemahkan kepada jaringan, kedudukan 0-1 kekal sehingga tamat permainan.

Ulasan